Wednesday, February 2, 2011

biarlah ym berbicara

                                                                 chapter 2...
CHARMING: Hai sweet!
Hampir meloncat aku dari kerusi. Setelah hampir
dua minggu, akhirnya aku dapat juga melihat Window ini.
Window yang sangat-sangat aku rindu. Terasa senyumku saat
ini mekar bak jambangan mawar merah segar di atas meja
penyambut tetamu. Sukanya hati aku. Bahagianya aku.
Ugly Betty: Hi…
Ugly Betty: Mana hilang? Lama x dengar citer. I
tegur pun x nak jawab.
Charming: Ada. Cuma…
Ugly Betty: Cuma apa?
Charming: Saja nak bagi u rindu. Ajak jumpa tak
nak!
Aku tersenyum. Indahnya hari ini. Nasib baik aku
batalkan niat untuk mengambil cuti sakit. Kalau tidak,
kempunanlah hendak bersembang dengan Charmingku ini.

Ugly Betty: Ingat dah lupa kita…
Charming: Mana boleh lupa. Kalau orang tu… tak
taulah pulak. Kan?
Aku tersenyum lagi. Bahagianya.
Deringan telefon sedikit mengganggu. Dengan
agak malas aku mencapai gagang. Kenapalah perlu ada
gangguan pada saat- saat indah seperti ini?
“Diya… masuk bilik saya kejap!”
Ha? Aku termangu. Ini betul-betul gangguan. Tak
nak! Aku tidak mahu ke mana-mana pun. Aku ingin berada di
sini. Bersama Charmingku. Aku tak nak!
“Kenapa encik?” soalku agak lemah. Harap-harap
dia mendengar suaraku yang lemah bagai orang sakit ini.
Encik Firdaus membatalkan niatnya untuk berurusan
denganku. Bukan malas hendak bekerja, tetapi kerja yang
Encik Firdaus hendak bagi ini, tidak kena pada masanya.
Tunggulah aku selesai bersembang dengan Charmingku
dulu.
“Masuk!” Cukup tegas arahan daripada Encik
Firdaus.
“Yalah…” jawabku lemah.
Mengacau betul! Orang baru nak berjiwang. Encik
Firdaus ni… memang dengki tau!
Ugly Betty: Kejap ya... bos panggil la!
Aku diam seketika. Menunggu balasan. Tiada.
Merajuk ke dia? Sudahnya aku cuma mengeluh kecil. Encik
Firdaus ni… Perlahan-lahan, aku mengetuk pintu biliknya.
Harap-harap Encik Firdaus tidak dengar. Bolehlah aku
berlalu dengan senang hati. Terdengar suara menyuruh aku
masuk. Dengar juga… rungutku sendiri. “Ada apa encik?”

Encik Firdaus mengangkat mukanya. Kemudian
tersenyum lawa. “Can you do me a favour?”
Aku merenung wajah Encik Firdaus. Menunggu
arahan sebenarnya.
“Boleh?”
Aku mengangguk. Ada ke tanya macam tu. Dah
namanya aku ni pekerja, memanglah kena buat kerja. Lainlah
kalau minta keluar dating ke… makan malam ke... barulah
tanya boleh ke tak? Aku tersenyum kecil. Mimpilah aku
hendak keluar dating dengan bos yang handsome ni.
“Okey. Awak tolong buat filing untuk semua
dokumen tu!” arah Encik Firdaus sambil memuncungkan
mulut ke arah meja bulat di satu sudut biliknya.
Aku akur sambil melangkah perlahan ke meja yang
dimaksudkan. Mataku tertumpu pada beberapa dokumen di
atas meja. Kebanyakannya bil dan penyata bank yang
kelihatan seperti milik peribadi. Keningku sedikit berkerut.
“Betul ke encik nak saya buat filing ni?”
“Yalah. Kenapa?”
“Tapi… ni semua macam dokumen peribadi aja.”
“Memanglah. Saya nak awak failkan semua.
Arrangelah macam mana pun. Janji, I can access it. Fast and
easy. Boleh?”
Aku diam. Ini bukan kerja aku! Kenapa dengan
Encik Firdaus ni? Dia nak mengurat aku ke? Biar betul… Aku
menguntum senyum. Perasannya!
“Saya tahu. Sepatutnya secretary saya yang buat.
Tapi hari ni, Lisa cuti. So, can you do it for me?”
Aku sengih. Malu. Encik Firdaus seolah-olah dapat
membaca apa yang ada di dalam fikiranku. Bahaya ni! Aku
duduk sambil membelek dokumen. Berfikir cara filing yang
paling efisyen. Kononnya macam aku ni expert la. Puas aku
berfikir, tetapi buntu. Fikiranku lebih pada Charmingku yang
kutinggalkan di luar.
“Errr… encik…”
“Yes. Any problem?”
Cepat-cepat Encik Firdaus bertanya sambil
mengangkat muka menatapku tajam. Aiseh! Ni yang buat aku
kelu ni.
“Errr… boleh saya buat kat luar? At my desk?”
Encik Firdaus tidak menjawab. Cuma renungannya
yang memberitahu aku, bahawa cadangan aku ditolak sama
sekali.
“Kenapa? Ada masalah ke kalau buat kat sini?”
“Tak. Bukan macam tu… cuma…”
Encik Firdaus terus memandang menanti jawapan.
Aku tunduk. Buat-buat sibuk menyusun kertaskertas
di hadapanku.
“Diya… I’m waiting. Cuma apa?”
“Tak ada apa-apa encik. Saya buat sekarang!”
Encik Firdaus mengangguk perlahan. Kemudian
kembali tunduk meneliti fail di tangannya.
Aku mengeluh lemah. Selamat jalan Charming!
Mesti selepas ini, dia akan menyepi lagi. Dan aku akan
kembali merindunya. Ini semua Encik Firdaus punya pasal!
Kenapa perlu dia minta aku buat semua ini pada saat-saat
yang sebegini penting. Menyampah! Agaknya aku memang
tiada jodoh dengan Charming. Tetapi, aku betul-betul
sukakannya. Aku betul-betul diburu resah apabila tidak
dapat berbicara dengannya. Biarpun hanya jemari yang
menjadi medium bicara, namun itulah yang membahagiakan
aku sekian lama. Aku bahagia melayan patah bicaranya.
Nampaknya selepas ini, aku perlu kuat untuk belajar
melupakan seorang insan bergelar Charming. Sedihnya…
Aku mengangkat muka. Dalam diam aku merenung
tajam pada Encik Firdaus yang leka dengan kerja-kerjanya.
Bagai tersimpan rasa geram yang tidak berpenghujung di
hati ini walaupun aku tahu ini semua bukan salah Encik
Firdaus. Lelaki itu yang sebenarnya tidak serius denganku.
Itulah kenyataannya. Tetapi, entah kenapa perasaan yang
berbunga ini menafikan kenyataan itu. Perasaan yang
berbunga ini sanggup menanggung peritnya sebuah
kerinduan yang tidak berbalas. Bodohnya aku!
Aku kembali tunduk, membuat kerja yang disuruh
dengan tidak sepenuh hati. Selepas ini, kalau Encik Firdaus
marah-marah lagi, gara-gara aku buat salah, aku tak kisah.
Saat ini aku hanya ingin melayan perasaanku sahaja. Melayan
rasa kecewaku pada Si Charming. Melayan rasa geramku
pada Encik Firdaus. Melayan rasa sedihku, pada kebodohanku
sendiri.


bersambung>>>>

No comments:

Post a Comment