Friday, February 25, 2011

biarlah ym berbicara chapter 34.... 39

Chapter 34
Aku melihat jam di tanganku. Sudah hampir pukul lapan setengah malam. Hati sudah memberontak mahu pulang. Aku mengerling Encik Firdaus di sebelahku. Cukup santai melangkah sambil matanya liar memandang sekeliling.
“Sebenarnya Encik Firdaus nak beli apa?,”soalku akhirnya. Sudah hampir lima belas minit kami berjalan tanpa tujuan di dalam kompleks membeli belah ini. Encik Firdaus menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil memadang ke arahku. Perlahan dia menjungkit bahu. Aku mengeluh perlahan. Lecehlah kalau macam ni.
“Any idea?,”soalnya kembali padaku. Giliran aku pula yang mengangkat bahu. Manalah aku tahu bab memilih hadiah ni. Lebih-lebih lagi hadiah untuk golongan kaya seperti Encik Firdaus dan keluarganya.
“Apa kata kalau kita balik dulu? Encik Firdaus balik fikir dulu apa yang Encik Firdaus nak beli. Macam tu kan, senang,”
Encik Firdaus tersenyum.
“Awak ni kan, kalau dengan saya, tak boleh nak lama-lama sikit. Asyik nak balik aje. Jangan risau. Nanti saya hantar awak pulang. Saya ajak awak, sebab nakkan pendapat. Faham?,”
“Ajaklah Cik Mia. Mesti Cik Mia lebih tahu apa yang mak Encik Firdaus suka. Kan dia rapat dengan mak Encik Firdaus,”cadangku sambil memandang wajah Encik Firdaus yang kelihatan sedikit berkerut.
“Hai… Lain macam je bunyinya tu?,”balas Encik Firdaus bersama sekuntum senyuman nakal.
“Lain macam apa pula? Betullah,”cepat-cepat aku bersuara. Janganlah sampai Encik Firdaus sangka aku cemburu pula. Encik Firdaus tergelak kecil.
“Ok. Now tell me, kita nak beli apa ya?,”
“Manalah saya tahu Encik Firdaus. Saya bukan pandai sangat kalau bab pilih-pilih hadiah ni. Encik Firdaus beli saja apa yang mak Encik Firdaus suka. Saya mana tahu mak Encik Firdaus suka apa. Nanti kalau saya salah pilih, macam mana?,”
Encik Firdaus merenung wajahku. Sedikit tajam. Marah ke Encik Firdaus? Aku tunduk. Terasa sedikit gerun melihat wajah serius Encik Firdaus.
“Kita balik,”pendek sahaja ayat yang keluar dari bibir lelaki itu. Suara pun sudah lain macam. Segera aku mengangkat muka. Muka Encik Firdaus sudah sedikit kelat. Betullah. Encik Firdaus marah.
“Tapi…,”
“Kita balik,”sekali lagi dia bersuara sambil mencapai jemariku. Membuat aku tergamam seketika. Dia menarik tanganku. Memaksa aku bergerak mengekorinya.
“Kata nak pilih hadiah untuk mak Encik Firdaus,”aku bersuara.
“Awak kan tak tahu nak pilih,”
Aik! Merajuk?
“Betul saya tak tahu. Tapi, saya boleh temankan,”aku bersuara lagi. Separuh memujuk. Tidak sampai hati hendak biarkan lelaki ini merajuk.
“Tak apalah. Menyusahkan awak saja,”
Aku termangu. Terkedek-kedek aku mengikut tarikan tangannya yang agak laju. Macam mana lagi caranya untuk aku pujuk lelaki ini? Sensitif pula dia hari ini.
“Tak adalah. Saya tak fikir macam tu pun. Maaflah kalau Encik Firdaus tersinggung,”
Langkah Encik Firdaus semakin perlahan. Dia berpaling. Memandang wajahku. Masih dengan wajah yang serius.
“Saya tak nak awak rasa macam terpaksa temankan saya,”Encik Firdaus bersuara. Aku tersenyum.
“Memang pun,”
Bulat mata Encik Firdaus merenungku.
“Tapi sikit je,”sampukku cepat-cepat sebelum Encik Firdaus sempat bersuara, sambil tersengih panjang. Melihat aku tersengih, Encik Firdaus turut tersenyum kecil.
“Nasib baik cepat-cepat cover. Kalau tak, memang saya heret awak balik,”
“Kalau nak heret saya balik pun, tak apa juga. Saya tak kisah,”balasku dengan nada bergurau. Encik Firdaus tergelak.
“Heret ke rumah saya. Boleh?.”
Aku terseyum kecil. Malas hendak menjawab.
“Tiha?,”
Aku berpaling. Kenal dengan suara itu. Sedikit terperanjat sebaik bertemu dengan pandangan kurang senang Abang Kamal. Kelu seketika. Bagaimana boleh terserampak dengan Abang Kamal di sini? Dan, lebih membuat aku terperanjat adalah gadis di sebelah Abang Kamal. Melihat mata Abang Kamal yang tajam memandang jemariku dan Encik Firdaus yang bertaut, perlahan aku menarik tanganku. Encik Firdaus pula, bagai memahami, melonggarkan pegangannya. Atau, dia pun tergamam melihat Mia di hadapan mata?
“Abang. Buat apa kat sini?,”soalku hairan. Lebih hairan melihat Mia tersenyum di sisi Abang Kamal.
“Tiha? Buat apa kat sini?,”soal Abang Kamal tanpa menjawab soalanku. Aku tersenyum. Tidak ada ada jawapan yang hendak aku berikan. Aku sekadar berpaling memandang wajah Encik Firdaus. Encik Firdaus pula memandang tanpa perasaan. Tiba-tiba suasana terasa teramat janggal. Mungkin Encik Firdaus terkejut apabila terserempak Mia dengan lelaki lain. Encik Firdaus cemburu melihat Mia barangkali. Cintakan aku konon! Hatiku membentak tanpa sedar.
“Hai Fir. What are you doing here?,”Mia menyapa ramah.
“Ada discussion dengan client tadi,”balasnya bersama senyuman yang tidak begitu mekar di bibir. Mia tersenyum sambil matanya beralih ke wajah Abang Kamal.
“And.. you. You kenal Adiya, Kamal?,”soalnya pada Abang Kamal pula. Seperti Encik Firdaus, aku melihat senyum Abang Kamal juga tidak begitu menjadi. Terlalu ketara di wajah mereka.
“Nurul Adiya Fatiha. Memanglah I kenal,”
Aku tersenyum lebar. Kelakar mendengar Abang Kamal menyebut nama penuhku. Nasib baik tidak sebut nama ayahku sekali. Cara Abang Kamal menyebut nama aku, macamlah aku ni, artis popular. Giliran Mia pula yang mempamerkan senyum kelat.
“Your cousin kan?,”Encik Firdaus menyampuk sambil memandang wajahku. Aku mengangguk dan Mia sedikit terpinga-pinga. Abang Kamal pula mengukir senyum.
“Kamal,”dia bersuara sambil menghulurkan tangan. Encik Firdaus menyambut huluran tangan itu. Aku cuma menjadi pemerhati. Ada senyum di bibir lelaki-lelaki itu. Dan aku juga perasan, di sebalik senyum itu, ada garis ketegangan yang mengganggu.
“Firdaus,” Encik Firdaus bersuara sepatah.
“I know. Bos Tiha kan?,”
“Wait…Wait.. Wait. Wait a minute. You guys know each other? How come? I tak tahu apa-apa pun?,”Mia tiba-tiba mencelah. Barangkali terasa dia sedikit ketinggalan di dalam pertemuan yang tidak dipinta ini. Aku sekadar memerhati lagi.
“Tak adalah kenal. Tapi, I ternampak hari tu you both went out for dinner. Kan?,”
Abang Kamal tersenyum.
“Yes. I pun nampak you on that day,”
“Bila?,”soal Mia terpinga-pinga.
“Alaa..malam tu. Hari kita pergi tengok wayang tu,”
Aku pandang wajah Encik Firdaus. Cara Encik Firdaus menjelaskan pada Mia membuat hatiku dijentik sedikit rasa geram. Mia pula kelihatan seperti cuba mengingatkan sesuatu.
“Oh... malam tu,”dia bersuara akhirnya. Tersenyum memandang Abang Kamal.
“No wonderlah you cakap…,”
“Cakap apa?,”Abang Kamal bertanya. Mungkin hairan dengan bicara Mia yang tergantung. Mia menggeleng sambil tersenyum panjang. Aku pula memandang dengan perasaan yang sedikit aneh.
“So, nak ke mana ni?,”Mia bertanya sambil memandang Encik Firdaus.
“Encik Firdaus nak cari present untuk Puan Junaidah,”aku menjawab apabila melihat Encik Firdaus seperti keberatan untuk membuka mulut.
“Ya ke? Samalah. I pun tengah nak mencari apa yang nak dibeli ni,”
“Eloklah tu. Boleh Encik Firdaus dan Cik Mia cari sama-sama,”aku bersuara sambil bergerak ke sebelah Abang Kamal. Mia memandang wajah Encik Firdaus dengan kening sedikit berkerut. Encik Firdaus pula memandang ke arahku.
“Ok,”ujarnya sepatah sambil memaut lengan Mia. Matanya pula langsung tidak beralih dari wajahku. Aku tersenyum. Encik Firdaus sengaja hendak membakar api cemburu aku ke? Dia mula melangkah, meninggalkan aku dan Abang Kamal di belakang.
“Abang baik ya dengan Mia tu?,”soalku sambil mengekori mereka dari belakang bersama Abang Kamal. Abang Kamal tersenyum kecil sambil menjungkit bahu. Aku tersenyum nakal.
“Senyum-senyum nampak. Ada apa-apa ke? Hati-hati bang. Jangan rampas kekasih orang,”
“Tapi, abang rasa, kekasih orang yang nak rampas buah hati bang ni,”Abang Kamal menjawab bersama senyuman yang sedikit melebar. Aku mencebik sambil menjeling.
“Cantik Tiha pakai scarft ni. Memang sesuai dengan Tiha,”Abang Kamal menukar topik perbualan. Mungkin dia tahu aku tidak suka dengan topik itu.
Mendengar pujian itu, aku tersipu malu. Skaf sutera berwarna jingga hadiah daripada Abang Kamal yang melingkari leherku, aku sentuh.
“Ek?,”soalku sambil memandang wajah Abang Kamal. Abang Kamal tersenyum senang.
“And, subang pun Tiha pakai ya? Terima kasih. Abang ingat Tiha dah buang semuanya,”
Aku tersenyum kecil. Memang ada niat hendak buang pun. Tapi, tidak jadi.
“Tiya, kita ke sana,”Encik Firdaus berpaling sambil bersuara. Aku mengangguk. Abang Kamal memandangku.
“Betul ke mereka tu kekasih?,”soal Abang Kamal sambil kami mengekori Encik Kamal dan Mia masuk ke sebuah kedai emas.
“Betullah,”
“Kalau betul, kenapa mukanya masam semacam tengok Tiha jalan dengan abang ni?,”Abang Kamal merendahkan suaranya. Mungkin tidak mahu Encik Firdaus dan Mia dengar. Aku pandang wajah Abang Kamal. Sambil melabuhkan punggung ke kerusi, aku menarik tangan Abang Kamal. Mengajak dia turut sama duduk di sebelahku.
“Abang… Abang dah lupa ke? Abang tengah jalan-jalan dengan kekasih dia kan? Mahu dia tak cemburu. Apalah abang ni,”bisikku perlahan di telinga Abang Kamal. Abang Kamal tergelak. Aku tersenyum. Dan, ternyata gelak Abang Kamal menarik perhatian Encik Firdaus dan Mia. Masing-masing berpaling dengan wajah yang sedikit kelat. Aku tersengih. Encik Firdaus dan Mia pula kembali berpaling pada kaunter sambil membelek koleksi gelang dan rantai.
“Tengok tu. Muka pun dah masam. Agaknya mesti tengah bergaduh tu,”bisikku lagi. Abang Kamal tersenyum sambil menggeleng perlahan. Aku pula tidak lagi menyambung bicara. Sambil menunggu Encik Firdaus memilih apa yang hendak dibeli, mataku leka melihat rantai dan gelang tangan di dalam di hadapanku.
“Pandailah buat cerita ya?,”
Aku tersenyum. Abang Kamal menyambung senyumnya.
“Ada yang berkenan ke?,”tiba-tiba Abang Kamal bertanya.
“Hah?,”soalku sambil memandang wajah Abang Kamal. Tidak faham dengan soalan Abang Kamal.
“Tu..,”balasnya sambil memuncungkan mulut ke arah deretan rantai dan gelang emas di hadapanku.
“Oh… Tak naklah,”
“Kenapa? Pilihlah. Abang belikan,”
Aku tersengih. Perlahan aku menggeleng.
“Pilihlah adik. Itu abang sudah mahu beli lorr,”jurujual Cina di hadapanku menyampuk. Aku tersenyum lagi.
“Tak mahulah amoi. Saya tak suka pakai emas,”
“Platinium ada. Mutiara ada. Semua boleh pilih. Ini semua latest design tau. Ye tak, abang?,”
Abang Kamal cuma tersenyum.
“Abang pun sudah senyum. Sudah kasi green light tu. Pilihlah,”
Senyumku sudah sedikit kelat. Amoi ni! Janganlah desak-desak.
“Atau.. kalau you mahu pilih cincin pun, ada. Banyak design baru juga. Pilih saja,”
“Let’s go. Tak ada yang I sukalah,”Encik Firdaus yang duduk di sebelah kami bersama Mia, tiba-tiba bersuara. Aku berpaling. Encik Firdaus dan Mia sudah pun mengangkat punggung. Aku pandang wajah Abang Kamal. Abang Kamal cuma menjungkit bahu. Dan, kami turut mengangkat punggung sambil melangkah malas di belakang. Encik Firdaus berpaling.
“Jom,”dia bersuara tiba-tiba.
“Jom? Ke mana?,”soalku hairan.
“Balik,”
“Err.. Encik Firdaus baliklah dengan Cik Mia,”aku bersuara lambat-lambat. Risau kalau-kalau Mia memarahi aku di situ. Wajah Mia pun sudah kelat semacam. Haru-biru betul pertemuan ini.
“Awak datang dengan saya kan? So, balik dengan sayalah,”Encik Firdaus bersuara.
“Ha ah. You pun Kamal. You datang dengan I kan? So, kita balik sama-sama,”Mia pula mencelah. Aku terkebil-kebil. Abang Kamal pun, aku rasa memang berasa pelik dengan tingkah Encik Firdaus dan Mia.

No comments:

Post a Comment