Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 21 (chapter 15 bru.... hehehe)

Chapter 15
Perlahan aku membuka mata. Di mana aku? Aku memandang sekeliling. Di dalam sebuah bilik. Yang pasti, bukan bilik aku.
"Diya, kau ok ke?,"
Aku cuba bergerak. Kepala masih terasa sedikit berat. Aku kerutkan kening, cuba mengingati apa yang berlaku.
"Kenapa ni? Apa dah jadi?," soalku perlahan, sambil bergerak bersandar pada kepala katil.
"Kau pengsan," Sharifah bersuara sambil melabuhkan punggung di sebelahku. Aku pegang kepala. Tubuhku terasa cukup lemah. Aku pandang kakiku. Sudah berbalut.
"Mana semua orang?,"
"Ada kat luar. Encik Firdaus suruh aku yang jaga kau. Ramai-ramai kat sini, nanti sesak pula. Kau tak apa-apa?,"
Aku menggeleng perlahan.
"Sakitlah kaki aku,"aku mengadu pada Sharifah.
"Kaki kau terkena kayu tajam. Mia dah rawat luka kau,"
"Mia?,"soalku sedikit sebal. Kenapa dia pula yang menyibuk? Ish. Tak baik betul aku ni. Sepatutnya aku berterima kasih pada gadis cantik tu.
"Kau nak minum?,"
Aku mengangguk. Sharifah mencapai sebotol hundred plus lalu dihulurkan padaku. Aku sambut dengan lemah.
"Tolonglah buka,"ujarku sambil menghulurkan semula botol hundred plus kepada Sharifah.
"Amboi. Nak manja-manja pula," Sharifah bersuara sambil membuka penutup botol itu. Aku tersengih.
"Nah,"
"Terima kasih, cayang bucuk,"
Sharifah membuat muka mendengar kata-kataku. Aku tersenyum lucu.
"Kejap ya,"
"Kau nak ke mana?,"
"Kejaplah," Sharifah bersuara sambil melangkah keluar dari bilik kecil itu. Aku cuba membetulkan duduk. Rimas sebenarnya dengan bajuku yang basah dan berpasir. Saat ini, apa yang aku inginkan ialah berada di dalam bilik air. Membersihkan badanku. Aku memandang ke arah pintu apabila pintu di ketuk bertalu-talu.
Encik Firdaus menjenguk. Menghadiahkan aku sekuntum senyuman. Aku membalas senyuman itu.
"Boleh saya masuk?,"
"Masuklah,"
Encik Firdaus berjalan terjengket-jengket sambil memegang sebatang kayu yang dijadikan tongkat. Sama seperti aku, baju Encik Firdaus turut lencun dan berpasir. Masih belum berganti.
Sampai di hadapanku, dengan sedikit payah dia melabuhkan punggung ke katil, di sebelahku. Entah kenapa, situasi itu sekali lagi menjentik rasa debar di hati. Segan apabila aku terbaring di hadapannya.
"Awak tak apa-apa?,"
Aku menggeleng sambil cuba mengukir senyum. Dan, sekali lagi, entah kenapa situasi ini membuat aku benar-benar kekok. Aku betulkan duduk sekali lagi. Mencari keselesaan untuk berada bersama Encik Firdaus.
"Sherry cakap awak mabuk darah ya?,"
Aku tersenyum. Malu mengakui kelemahan diri.
"Saya minta maaf. Semua silap saya,"Encik Firdaus bersuara perlahan.
"Kenapa Encik cakap macam tu? Bukan salah encik. Salah saya sebenarnya. Saya tak sepatutnya lepaskan encik macam tu. Kaki encik macam mana?,"
"Hmm.. Dah tak apa-apa kot. Mia dah urutkan tadi. Terseliuh katanya,"
Mia lagi. Geramnya aku mendengar nama tu. Aku diam. Meneguk hundred plus dengan rasa marah.
"Hati-hati. Nanti tersedak,"tegur Encik Firdaus. Betul-batul aku tersedak. Macam mana aku boleh lupa hendak menjaga ayu di hadapan Encik Firdaus? Malunya. Dek kerana tidak puas hati dengan Mia, sekali lagi aku malu dengan Encik Firdaus. Hari ini memang aku benar-benar malang. Terbatuk-batuk aku sambil menahan malu.
"Haaa.. Kan dah kata. Masin mulut saya," Encik Firdaus menepuk belakangku sambil membebel. Aku mengangkat tangan menunjukkan isyarat aku sudah tidak apa-apa. Rasa seperti berlebihan pula perhatian daripada Encik Firdaus. Tiba-tiba aku jadi teringat pada Charming. Dan tiba-tiba juga timbul rasa bersalah pada Charming apabila aku berperasaan pelik sebegitu pada Encik Firdaus. Aku sepatutnya cuma ada perasaan pelik dan indah ini, pada Charming. Kenapa tiba-tiba perasaan ini boleh terpecah dua? Dan kenapa orang itu adalah Encik Firdaus? Tidak mungkin.
"Lain kali guna straw. Kan ada straw ni,"bebel Encik Firdaus lagi sambil menghulurkan penyedut minuman padaku. Aku tersenyum malu sambil menggeleng. Takak yang pedih, membuat keinginanku untuk menghabiskan minuman itu tiada. Encik Firdaus meletakkan semula penyedut minuman di atas meja kecil.
"Encik Firdaus, sekali lagi saya minta maaf sebab lepaskan encik macam tu saja. Tak tahulah kenapa saya boleh buat tindakan bodoh macam tu,"
Encik Firdaus tergelak.
"Small matter. Kalau awak tak lepaskan saya, mana kita nak merasa mandi air lopak macam ni. Ya tak?,"
Aku tergelak. Sempat pula dia buat lawak. Macam seronok sangat mandi air lopak.
"Saya pun nak minta maaf. Menyusahkan awak. Jauh awak terpaksa papah saya. Im so sorry. Saya betul-betul lupa ada handphone dalam poket. Kalau I ingat, tak payah awak bersusah macam ni,"
"Tak apa. Perkara kecil. Lagi pun, kan saya yang makin kronikkan injury encik. Jadi, saya patut bertanggungjawab, kan?,"aku bersuara sambil mengulangi semula kata-katanya. Encik Firdaus tersenyum lucu.
"I think we won this competition,"
"Kita? Menang? Dalam mimpilah kot, Encik Firdaus,"aku bersuara lucu. Seorang kena papah. Seorang sampai pengsan. Sampai macam tu, masih boleh dikira menang ke?
"Perfect Partner paling malang,"
"Ya betul. Kalau untuk gelaran itu, saya setuju,"sokongku serta merta sambil tergelak mendengar kata-kata Encik Firdaus.
"Kaki tu, macam mana?,"soal Encik Firdaus lagi. Aku memandang betisku yang berbalut.
"Sakit sikit. Tapi, dah ok kot. Cik Mia yang rawat kan?,"
Encik Firdaus mengangguk sambil tersenyum. Amboi, sampai ke telinga senyum bila sebut nama kekasih hati dia.
"Malam ni, boleh attend kita punya dinner kan?,"
"Boleh. Bukan teruk sangat pun," aku bersuara dengan suara yang pura-pura ceria.
"Tak teruk pun, banyak juga air mata yang keluar hari ni ya?,"usik Encik Firdaus sambil tergelak. Aku tertunduk. Malu bila mengingatkan aku menangis di hadapan Encik Firdaus. Macam orang bodoh pun ada.
"Hai! Ganggu ke?,"
Satu suara mengganggu perbualan kami. Kami sama-sama pandang ke pintu. Mia tercegat di pintu bersama senyuman yang cukup manis. Aku tiba-tiba menarik muka masam. Kacau betul.
"No lah. Masuklah," Encik Firdaus bersuara ceria. Mia melangkah masuk.
"Hai, Adiya. Macam mana? Dah lega sikit?,"soalnya sambil melabuhkan punggung ke kerusi di sebelah katilku.
Aku mengukir sekuntum senyuman hipokrit.
"Dah ok dah. Terima kasih Cik Mia. Sebab tolong rawat luka saya,"
Mia tergelak kecil.
"Alaa.. Small matter lah. Bukan susah pun. Lagipun, kan dah tanggungjawab saya. Luka you tu, dalam juga. Tapi tak besar,"
"Ye ke? Patutlah banyak darah keluar,"ujarku sambil tunduk membelek balutan di betisku.
"Sampai pengsan ya? Agaknya you pengsan sebab mabuk darah, atau sebab penat sangat papah Cik Abang kita ni?,"soal Mia bersama gelak halus sambil menampar perlahan bahu Encik Firdaus. Mesra dan ramahnya dia. Aku tersenyum. Encik Firdaus turut tergelak mendengar kata-kata Mia.
"You ni. Janganlah cakap macam tu. Bertambah-tambah rasa bersalah I nanti," Jawab Encik Firdaus sambil merenung wajahku. Aku tersengih. Menjawab kata-kata Mia, tapi, matanya melekat di wajahku. Pelik betul Encik Firdaus. Dan yang lebih pelik, mestilah perasaan aku. Rasa marah tiba-tiba menyelinap di sudut hati apabila sekali lagi melihat Mia begitu mesra dengan Encik Firdaus. Nasib baik, bila aku cepat-cepat fikirkan tentang Charming, marah itu semakin berkurangan.
"Hah?,"soal Mia sambil menatap wajahku. Aku termangu. Tidak faham dengan pertanyaan gadis itu secara tiba-tiba. Namun, bila terlintas di kepala soalannya sebentar tadi, baru aku sedar, Mia menunggu jawapan dariku rupa-rupanya.
"Rasanya sebab dua-dua kot,"jawabku selamba.
"Kejam you Fir. Tak baik buat buat kat staff you macam tu tau,"
"I tak sengaja ok. Tak sengaja," Encik Firdaus bersuara sambil merenung wajah Mia dengan mimik muka marah yang dibuat-buat. Mia tergelak lagi. Bahagianya mereka. Aku mengangkat kaki perlahan. Rasa berdenyut masih terasa. Tetapi, mana boleh aku jadi penonton drama romantis ni, lama-lama. Makan hati pula rasanya.
"Eh, nak ke mana tu?,"soal Mia melihat aku bergerak menurunkan kaki dari katil.
"Balik ke bilik. Nak bersihkan badan. Rimaslah,"
"Boleh jalan ke? Nak I tolong?,"Mia bersuara ingin menghulurkan bantuan. Aku menggeleng laju.
"Tak apa. Saya rasa saya boleh jalan," aku menolak bantuan yang ingin Mia hulurkan. Mana boleh aku terima kebaikan dia, padahal hati aku ada rasa kurang senang padanya. Nanti rasa macam berdosa pula.
"Are you sure?,"
"Ya," jawabku sambil berdiri. Rasa sedikit ngilu bila aku berpijak ke lantai. Sebenarnya perasaan takut sakit lebih menghantui rasa sakit itu sendiri. Membuat aku teragak-agak untuk mencuba langkah pertama.
"Sure you okay?,"Encik Firdaus pula bertanya sambil mengangkat punggung. Memegang lenganku sambil sebelah lagi tangannya memegang tongkat. Dia berjalan pun kena minta bantuan tongkat, ada hati nak tolong aku. Aku tersenyum kecil.
"Ok. Saya ok. Saya boleh jalan sendiri," aku bersuara sambil mengalihkan tangan Encik Firdaus dari lenganku. Bimbang juga kalau-kalau Mia cemburu. Aku tidak mahu jadi pengganggu hubungan cinta orang. Perlahan aku melangkah sambil diperhatikan oleh Mia dan Encik Firdaus. Sudah seperti mengawasi budak baru hendak belajar berjalan pula perhatian yang diberikan oleh pasangan kekasih ini.
"Auch!," aku mengerutkan kening bila rasa pedih dan ngilu terasa sebaik aku mula melangkah.
"Tu laa. Degil. Orang nak tolong, tak nak bagi," Encik Firdaus bersuara dengan nada membebel. Aku tersengih.
"Saya tak apa-apa. Betul. Mula-mula memang rasa sakit sikit. Kan Cik Mia kan?,"
"Ha ah. You ni, risau sangat," jawab Mia sambil mengangkat punggung. Memerhati aku melangkah perlahan-lahan. Kan betul aku cakap. Tak adalah sakit sangat. Mula-mula pijak saja terasa sakit. Aku pandang wajah Encik Firdaus yang kelihatan risau sambil mengangkat ibu jari.
"Ok. Saya ok. Boleh jalan. No problem,"
Encik Firdaus tersenyum. Aku melangkah perlahan-lahan keluar dari bilik. Mencari-cari bayang Sharifah. Mana dia ni? Encik Firdaus sudah aku tinggalkan berdua-duaan dengan Mia.
"Diya,"
Aku berpaling. Johan melangkah perlahan mendekatiku. Aku bergerak sedikit ke belakang. Bersandar pada meja, agar kakiku tidak terlalu terbeban.
"Macam mana kaki tu?,"
"Tak ada apa-apa kot. Luka je,"
"Risau saya tadi,"
"Maaflah. Saya tak bermaksud nak buat semua orang risau,"
Johan tersenyum.
"Memang semua orang risau,"
Aku tersengih malu.
"Ada nampak Sherry tak?,"
"Ada. Tadi. Sekarang, hmm.. haa.. tu pun dia,"
Aku pandang. Sharifah sedang melambai ke arah aku dan Johan.
"Sherry!,"panggilku sambil turut melambai. Melihat lambaianku, Sharifah berlari-lari mendapatkan aku dan Johan.
"Kenapa?,"
"Jom. Kita balik bilik. Aku nak mandi. Dah rasa macam anak kerbau ni,"
Serentak Johan dan Sharifah tergelak mendengar kata-kataku.
"Yang pergi terjun dalam lopak tu, buat apa? Lain kali, kalau nak romantik, terjunlah kat tepi pantai sana,"Sharifah berseloroh sambil tergelak. Johan cuma tersenyum nipis.
"Kau ni. Aku cili mulut tu, baru tahu,"
Sharifah tersengih.
"Oh ya. Siapa menang tadi?,"
Mendengar soalanku, Sharifah memandang ke arah Johan sambil membuat muka bangga. Aku mencebik.
"Tentulah kami. Kan aku dah cakap, aku dan Joe akan menang. Kan, Joe?,"
Johan sekadar tersenyum.
"Wah! Kalau macam tu, tahniah,"
Sharifah menyambut ucapan tahniahku dengan sengih bangganya. Membuat aku menyampah. Sekali lagi aku mencebik, dan Sharifah tergelak kecil.
"Jomlah Sherry. Aku nak mandi ni,"
"Hmm.. Yelah,"Sharifah bersuara sambil memegang bahuku. Ini yang aku sayang pada Sharifah ni. Belum pun aku suruh dia sudah bersedia hendak mambantu aku. Aku melangkah perlahan-lahan. Mengurangkan rasa sakit.
"Boleh jalan ke?,"Johan bertanya juga dengan riak wajah yang sama dengan Encik Firdaus. Riak yang sangat bimbang.
"Boleh. Don’t worry. Lagipun, kan Sherry ada," aku menjawab dengan nada sedikit berseloroh. Dalam hati, tiba-tiba terasa gembira kerana begitu ramai orang mengambil berat tentang aku. Bahagianya.
"Kenapa Joe? Kau nak dukung Diya lagi ke?,"
"Ha?!,"soalku terkejut mendengar soalan Sharifah. Johan tersengih.
"Yelah. Kau pengsan, Joe yang jadi hero," terang Sharifah bersama sekuntum senyuman yang tidak begitu aku gemari. Betul ke? Aku pandang wajah Johan. Johan sekadar memberi aku sekuntum senyuman nipis yang membuat aku malu sendiri. Seumur hidup aku, tidak pernah ada lelaki yang menyentuh aku. Kecuali Abang Kamal yang sentuhannya tidak pernah aku maafkan sampai ke saat ini. Eh, ada lagi. Juga Encik Firdaus yang sentuhannya tidak dapat aku lupakan sehingga ke saat ini. Hari ini, aku didukung oleh Johan pula. Tidak! Balik dari pulau ini, aku mesti mandi bunga. Malangnya nasib aku di sini.
"Maaf. Saya menyusahkan awak,"aku bersuara sambil tunduk. Segan hendak berlaga pandangan dengan Johan.
"Tak ada masalahlah. Lagipun, bukan kita yang minta kan? Kecemasan,"
"Yelah tu. Ingat sikit kat tunang ya..,"sakat Sharifah sambil tersengih nakal.
"Aku ingatlah," balas Johan dengan nada sedikit geram. Sahrifah tergelak kecil sambil menepuk perlahan bahu Johan.
"Jangan marah. Kita kan perfect couple. Aku gurau je,"
"Hmm.. Pasal kau dah buat aku tersinggung, hadiah kau, malam ni, bagi kat aku,"
"Eh, mana boleh? Banyak cantik. Penat-penat aku berlari ke sana ke sini, hadiah kau nak sapu semua? Tak boleh. Tak boleh,"
"Nasiblah. Diya, malam ni, boleh join dinner ke?,"
Aku mengangkat muka mendengar soalan Johan. Rasa malu sudah sedikit hilang. Nasib baik Johan seperti tahu aku segan, jadi dia tidak layan sangat usikan Sharifah.
"Mestilah pergi. Acara kemuncak, rugilah kalau tak pergi. Lagipun, makan pakai mulut, bukan pakai kaki,"aku berseloroh sambil disambut gelak oleh Sharifah dan Johan.
"Oklah. Kami pergi dululah, Joe. Ingat! Jangan mengada-ngada nak hadiah aku," Sharifah bersuara sambil memimpin aku melangkah. Johan mencebik. Dan aku tergelak.

No comments:

Post a Comment