Thursday, February 24, 2011

biarlah ym berbicara 35

Chapter 29
"Hello adik manis,"
Aku mengangkat muka. Damodar tersengih.
"Apa bikin sini?,"
"Tidur. Tak nampak saya bawa bantal dengan selimut ni?,"soalku selamba. Damodar tersengih. Sharifah tergelak sambil menepuk bahuku. Johan yang baru sampai bersama sepinggan nasi, memandang hairan.
"Kau ni, tak baik tau,"
Aku tersenyum. Memang patut pun aku sindir si Damodar ni. Dah tengok aku tengah makan, boleh pula dia tanya aku buat apa.
"Apa hal ni? Macam ada cerita kelakar je?,"
"Ini adik manis mahu tidur kat kantin,"ujar Damodar tersengih. Aku jegilkan mata. Aku cuba perli dia, dia balik kenakan aku. Betul-betul nak kena mamat Nepal ni. Johan dan Sharifah sama-sama tergelak.
"Boleh join?,"soal Johan sambil memandang wajahku. Aku senyum.
"Duduklah,"
Johan melabuhkan punggung di hadapanku. Damodar turut sama duduk di hadapan Sharifah.
"Lama juga tak nampak Diya makan kat kantin ni. Tiba-tiba dua tiga hari ni muncul di sini. Mimpi apa ni?,"Johan bertanya. Aku tersenyum. Cuma tersenyum. Tidak menjawab soalan itu. Sebenarnya aku lari daripada Encik Firdaus. Sebelum Encik Firdaus mengajak aku keluar makan tengahari bersamanya, cepat-cepat aku tarik tangan Sharifah ke kantin. Rasa geram yang bersisa, membuat aku rasa ingin merajuk sekejap dengan Encik Firdaus. Suka-suka mempermainkan perasaan aku. Membuat aku berasa serba salah. Bila diingat semula apa yang Encik Firdaus buat pada aku tempoh hari, memang rasa geram ini tidak akan hilang. Begitu senang Encik Firdaus melafazkan kata-kata yang begitu dalam maknanya itu. Meluahkan kata-kata keramat yang begitu suci. Tetapi, luahannya ternyata hanya satu gurauan semata. Cuma, tujuan dia bergurau sebegitu rupa masih menjadi tanda tanya pada aku. Dan, aku pun tidak mahu bertanya. Biarlah segalanya berakhir di sini. Berakhir begini. Tidak perlu difikirkan lagi.
"Tengah bersembunyi ni,"Sharifah bersuara. Johan mengangkat muka. Kening terangkat tanda hairan dengan kata-kata Sharifah. Damodar pula, tekun menikmati hidangan makan tengaharinya.
"Bersembunyi?,"
"Tak adalah. Saja nak tukar selera. Lagipun, lately, tak ada hal kat luar. So, makan jelah kat sini,"cepat-cepat aku bersuara sebelum Sharifah membuka cerita sensasi.
"Sejak jadi setiausaha bos ni, memang makin susah nak jumpa ya?,"
"Nak buat macam mana? Dah kena ikut dia ke sana sini. Kalau tak ikut dia keluar pun, kerja melambak menunggu kat atas meja. Dulu selalu deal dengan awak, tu yang selalu jumpa. Sekarang apa-apa hal awak kena deal dengan Sherry pula. Bila bertukar tugas ni, nak jumpa pun tak ada masa. Itu saja yang berubah. Betul tak?,"
Johan tersenyum.
"Betul. Tapi, rindu juga bila dah lama tak tengok muka awak,"
Aku diam. Menyuap perlahan nasi ke mulut. Johan pula merenung wajahku. Membuat aku malu untuk menyambung suapan. Aku bukannya boleh kalau ada orang pandang aku makan. Serba tak kena jadinya. Mulalah nak ‘conrtol ayu’.
"Joe.. Ingat tunang kat kampung tu..,"Sharifah bersuara perlahan. Johan tergelak halus.
"Aku ingat. Dua-dua aku ingat,"
Bulat mataku memandang wajah Johan. Johan tersengih.
"Gurau je. Takkan saya nak curang kat tunang saya. Kalau nak curang pun memang tak boleh. Sebab kasih kita tak diterima orang,"cepat-cepat Johan bersuara. Aku tersenyum kecil. Sempat pula Johan menyindirku. Tapi, aku tahu Johan cuma bergurau.
"Betul tak Diya?,"soal Johan sambil matanya melekat padaku. Aku tersenyum lagi.
Tidak mahu menjawab soalan Johan. Johan mengeluh sambil mengangkat bahu.
"See.. Kan saya dah cakap. Kena reject,"
"Bukan kau sorang je kena reject, Joe. Semua orang dia reject,"Sharifah bersuara tiba-tiba. Aku jeling sekilas.
"Takkan kot. Encik Firdaus pun kena reject ke?,"Johan bertanya dengan nada sedikit ingin tahu.
"Apa ni? Tiba-tiba cakap pasal dia pulak. Dia tak ada kena mengena dengan sayalah. Pandai-pandai je buat cerita,"tiba-tiba aku sedikit melenting. Ops! Kenapa aku teremosi pula bila Johan kaitkan aku dengan Encik Firdaus? Tiba-tiba teringat luahan cinta dia. Tiba-tiba teringat juga kemesraan dia dengan Mia. Semuanya itu bagai minyak yang menyimbah dalam bara geramku.
"Baik kau diam Joe. Nanti tak pasal-pasal kau kena lempang free,"cepat Sharifah bersuara membuat Johan tergelak kecil.
"Kalau diya yang lempang, kena bayar pun saya sanggup tadah pipi ni,"
Aku pandang wajah Johan yang tersenyum panjang. Geram. Marah pun tak guna. Sudahnya aku mengukir senyum yang tidak ihklas. Cakaplah apa saja yang kamu semua hendak cakap. Aku malas nak ambil kisah lagi. Hatiku bersuara perlahan.
"Oklah..,"kata-kataku terhenti. Bunyi nada dering telefonku mengganggu bicara. Sistem pesanan ringkas menerima pesanan.. Dengan sedikit malas aku buka.
[Awak kat kantin kan? Tolong belikan saya nasi goreng cina. Minuman, apa pun boleh]
Amboi! Ini sudah lebih. Siap boleh hantar pesanan lagi.
"Kenapa? Siapa tu? Bukan main panjang muncungnya tu?,"tegur Sharifah sedikit hairan. Telefon di tangan aku serahkan pada Sharifah. Malas hendak menjawab. Membaca pesanan itu, Sharifah tergelak besar. Membuat muncung aku bertambah panjang.
"Kenapa?,"Johan pula yang buat-buat sibuk bertanya.
"Tak ada apa-apa,"ujarku pendek sambil mengambil telefon bimbitku dari tangan Sharifah. Sharifah masih tersengih-sengih.
"Pergilah cepat. Kasihan dia duk menunggu tu,"ujar Sharifah sambil menyambung sengihnya. Aku mengeluh pendek. Encik Firdaus ni, memang sudah melampau. Boleh pesan makanan kat aku pula. Nak bermanja dengan aku ke? Telefonlah Mia. Suruh saja perempuan tu yang hantar lunch untuk dia. Suruh aku, buat apa? Buat aku semakin geram saja.
"Oklah. Aku pergi dulu. Saya pergi dulu, Joe,"aku bersuara mengundur diri. Ingin membeli makanan yang Encik Firdaus pesan. Johan mengangguk perlahan dan Damodar tersengih sambil meneguk minumannya. Aku membalas senyuman lelaki Nepal itu. Dan , dengan malas aku bergerak ke kaunter.

No comments:

Post a Comment