Thursday, February 24, 2011

biarlah ym berbicara chapter 30....36

Chapter 30
Pintu bilik Encik Firdaus, aku ketuk perlahan.
"Masuk,"
Perlahan aku menolak daun pintu. Menjenguk seketika sebelum melangkah masuk. Encik Firdaus sendirian. Tekun meneliti fail di mejanya. Wajah pun serius saja. Sibuklah tu. Patutlah minta aku belikan makanan untuk dia. Tiba-tiba terselit rasa bersalah kerana rasa geram yang hadir di hati sebentar tadi.
"Yes. Masuk Tiya,"
Aku akur. Encik Firdaus tersenyum di mejanya. Aku pula, sedikit sebal mendengar Encik Firdaus memanggilku dengan nama itu. Aneh sungguh perasaan ini. Kalau semalam dan sebelumnya, aku suka dia memanggilku dengan panggilan manjaku itu. Tetapi, hari ini, aku tidak suka langsung.
"Ini nasi goreng yang Encik Firdaus pesan. Dan ini apple juice. Saya tak tahu Encik Firdaus nak air apa. Jadi saya order air ni sajalah. Sebab saya tengok Encik Firdaus selalu order air ni,"
Encik Firdaus senyum.
"It’s okay. Memang minuman kesukaan saya pun air ni. Awak dah makan?,"
Aku mengangguk.
"Duduklah. Temankan saya. Tak best pula makan sorang-sorang,"
"Tak apalah, Encik Firdaus. Saya ada kerja,"
"Please. Duduk sekejap,"
Melihat wajah Encik Firdaus yang sedikit mengharap, hati aku menjadi lembut. Mudahnya aku kalah pada pujukan lelaki ini.
"Ok. Tapi, sekejap saja,"
Encik Firdaus tersenyum. Dia mengangkat punggung, beralih ke sofa sambil membawa plastik makanannya. Aku mengekori dari belakang. Melabuhkan punggung di hadapannya. Memandang dia membuka belas polistrene berisi nasi goreng. Aku mengangkat punggung.
"Nak ke mana?,"
"Ambil gelas. Nak letak minuman Encik Firdaus,"
Encik Firdaus tersenyum sambil mengangguk. Aku berlalu ke kabinet kecil yang menempatkan gelas dan cawan. Mengambil sebiji gelas, kemudian bergerak semula ke sofa. Plastik berisi jus epal aku capai. Menuang perlahan jus tersebut ke dalam gelas.
"Kenapa Encik Firdaus tak keluar makan?,"
"Tak siapa nak teman. Makan sorang-sorang. Tak best,"
Aku pandang wajahnya. Menyindir aku ke? Memang sudah tiga hari aku cepat-cepat pergi makan tangah hari di kantin. Aku diam. Tidak membalas kata-katanya.
"You are avoiding me. Kan?,"
Bulat mata aku pandang wajahnya. Memang betul pun. Tapi, takkan aku nak mengaku.
"Mana ada? Tak adalah,"mulutku cepat-cepat berbohong sambil tersenyum. Encik Firdaus tersenyum panjang sambil matannya tajam merenungku. Renungan tidak percaya.
"Boleh saya tahu kenapa?,"
"Kenapa? Kenapa apa?,"
"Kenapa awak mengelak dari saya? Takut jatuh cinta kat saya ke?,"goda Encik Firdaus sambil tersenyum nakal.
Tanpa sedar aku mencebik. Perasannya. Tak nak aku jatuh cinta kat Encik Firdaus. Nanti, aku juga yang makan hati.
"Ok. Serius, kenapa awak mengelak dari saya?,"
"Mana ada saya mengelak? Tak mengelak pun,"
"Betul?,"
"Betullah. Nak tipu buat apa?,"
"Ok. Kalau macam tu, buktikan awak tak tipu,"
Aku pandang wajah Encik Firdaus dengan pandangan resah. Bukti? Apa pula bukti yang dia inginkan ni? Senyum manis di bibir Encik Firdaus membangkitkan seribu tanda tanya di hatiku.
"Bukti apa pulak? Saya cakap tak ada, maknanya tak adalah. Tak payahlah pakai bukti segala. Encik Firdaus ni, macam mahkamah pulak,"
"Mahkamah hati.. mengadili perasaan. So, perlukan bukti kejujuran,"selamba Encik Firdaus berkias. Aku tersenyum kecil. Tak sangka Encik Firdasu ada bakat bermadah. Indah dan sedap didengar susunan kata-katanya.
"Kenapa awak senyum? Tak betul ke apa yang saya cakap?,"
"Saya ni.. kalau bab kiasan dan madah-madah ni, memang saya tak berapa nak faham,"
"Tak berapa nak faham ke.. takut nak faham?,"
Aku pandang wajah Encik Firdaus. Dalam nada bergurau, aku sedar renungannya cukup serius. Aku menarik nafas panjang sambil jemariku bergerak ke pipi. Menyelit rambut yang jatuh ke telinga. Dan, aku sedar, pandangan Encik Firdaus bagai makin melekat ke wajahku. Membuat aku betul-betul gemuruh. Tiada lagi senyum di bibir itu. Cuma pandangan yang tidak berpenghujung. Aku berdehem perlahan. Tiada reaksi. Perlahan aku mengangkat punggung. Baik aku beredar sebelum Encik Firdaus mengeluarkan kata-kata yang boleh membuat aku marah lagi. Namun, pegangan tangan Encik Firdaus membuat aku tidak jadi melangkah.
"Please.. Duduk. Saya tak puas pandang wajah awak,"
Aku kerutkan kening. Encik Firdaus ni, angau ke? Ini sayalah Encik Firdaus. Nurul Adiya Fatiha. Bukan Mia. Hatiku menjerit kuat. Geram apabila sekali lagi Encik Firdaus seperti ingin mempermainkan perasaanku lagi.
"Please..,"
Dalam marah, sekali lagi aku kalah pada pujukan Encik Firdaus. Aku duduk semula ke sofa. Encik Firdaus tersenyum sedikit.
"Saya betul-betul sukakan awak,"
Aku tersenyum nipis sambil tunduk. Mencari kata-kata yang sesuai untuk diucapkan.
"Takkan awak langsung tak boleh nak pertimbangkan?,"
Perlahan aku mengangkat muka. Tersenyum lagi. Tapi, aku tahu senyumku sudah tidak semanis mana.
"Kita cakap pasal benda lain ya, Encik Firdaus?,"pintaku sambil sekali lagi membetulkan rambutku yang terjatuh ke wajah.
"Ok. Cakap pasal benda lain. This weekend, datang rumah saya?,"
Aku ternganga. Topik yang menyesakkan dada juga yang Enick Firdaus utarakan. Baik tidak payah tukar topik.
"Calm down. Jangan terkejut sangat,"gurau Encik Firdaus bersama senyum yang mekar di bibir. Senyum yang di dalam diam meruntun jiwaku. Aku senyum sambil jemariku menutup mulut.
"Buat apa pulak saya nak kena pergi rumah Encik Firdaus?,"
"Mummy saya,"
"Kenapa dengan mak Encik Firdaus?,"
"Dia nak jumpa awak,"
"Hah? Nak buat apa?,"lurus saja soalan yang keluar dari bibirku.
"Nak bincang pasal nak masuk meminang awak kot,"
Aku menjeling sambil menarik muncung. Orang serius dia nak buat lawak pula.
"Oklah Encik Firdaus. Saya keluar dululah,"aku terus mengangkat punggung. Sekali lagi tangan Encik Firdaus memegang lenganku. Kali ini, dia menarik lenganku, membuat aku terduduk semula. Aku pandang wajahnya. Geram. Encik Firdaus senyum lagi.
"Serius,"ucapnya sepatah.
"Apa yang serius?,"
"Mummy saya nak jumpa awak,"
"Saya ada hallah hari minggu ni,"
"Hal apa?,"
"Nak pergi dating,"jawabku selamba. Encik Firdaus terdiam seketika.
"Ohhh..,"akhirnya dia bersuara perlahan.
"Maaflah ya, Encik Firdaus,"
"Kasihan mummy saya. Dia berharap sangat nak jumpa awak,"suara Encik Firdaus sedikit kecewa. Juga memberi sedikit rasa serba salah di hatiku. Betul ke?
"Kenapa dia nak jumpa saya?,"sekali lagi aku bertanya soalan yang sama. Ada rasa hairan yang mengusik perasaan apabila tiba-tiba ibu Encik Firdaus beriya-iya hendak bertemu denganku. Encik Firdaus mengangkat bahu.
"I don’t know,"
"Pelik. Buat apa mak Encik Firdaus nak jumpa saya sangat? Saya ada buat salah ke?,"
Encik Firdaus tersenyum sambil memandang wajahku.
"I don’t know , sayang,"ujarnya perlahann sambil menekan perkataan sayang di hujungnya. Membuat darah menyerbu ke mukaku. Barangkali melihat wajahku yang sudah bertukar warna, Encik Firdaus tergelak halus. Mendengar gelak itu, muncungku bertambah panjang. Sukalah tu, dapat mempermainkan perasaan aku. Semakin hari, terasa aku semakin tidak faham dengan sikap Encik Firdaus.
"Datang ya. Jangan hampakan mummy saya,"
"Tapi..,"
"Please..,"
"Ada apa-apa occasion ke?,"risikku sambil menentang renungan Encik Firdaus. Encik Firdaus menggeleng.
"Dah tu?,"
Encik Firdaus mengangkat kening.
"Dah tu apa?,"soalnya tidak mengerti.
"Yalah. Takkan tiba-tiba saja nak saya pergi jumpa dia? Kan macam tak logik tu,"
"Saja. Have fun dengan family. Makan-makan. Barbeque ke. Just some sort like that,"
"Untuk family kan? Jadi, tak eloklah saya join sekali. Nanti mengganggu,"aku bersuara dengan niat menolak ajakan itu.
"Well. Kalau dah itu, jawapan awak, nak buat macam mana kan? Tapi, apa saya nak cakap dengan mummy saya ya?,"
"Cakaplah apa-apa pun. Bukan susah sangat,"
"Apa kata..,"
Encik Firdaus tidak meneruskan kata-katanya. Sebaliknya dia mengangkat punggung. Bergerak ke mejanya. Aku memandang dengan seribu persoalan di hati. Apa pula yang cuba Encik Firdaus lakukan ni? Aku gundah sendiri. Biasanya agenda Encik Firdaus pasti tidak akan menguntungkan aku. Pasti Encik Firdaus yang akan tersenyum senang. Aku cuma memandang dia mencapai gagang telefon sambil menekan nombor.
"Hello. Assalamualaikum, mummy. Pasal this weekend. Mummy cakap dengan Adiya ya. She’s here now,"
Mak! Encik Firdaus telefon mak dia ke? Kan aku dah cakap. Agenda Encik Firdaus pasti akan menguntungkan dia. Daripada duduk, aku langsung berdiri tegak. Terkejut. Encik Firdaus tersenyum sambil menghulurkan gagang telefon ke arahku. Meminta aku bercakap dengan ibunya. Aku mati kutu. Apa aku nak cakap dengan ibunya? Mesti macam orang bodoh nanti.
"Cepatlah. She’s on the line ni. Waiting for you,"
Aku kerutkan kening.
"Saya nak cakap apa? Tak naklah,"
"Alaa.. cakaplah kenapa awak tak boleh datang,"bukan main lagi Encik Firdaus mengajarku. Aku masih tercegat di situ. Benci sungguh aku dengan Encik Firdaus ni.
"Cepat,"gesanya lagi. Aku bergerak ke mejanya. Mengambil gagang yang dihulur. Apa aku nak cakap ni?
"Saya nak cakap apa?,"bisikku sambil memandang Encik Firdaus. Encik Firdaus tergelak halus. Tidak menjawab. Cuma berdiri sambil berpeluk tubuh memandang aku. Aku garu kepala.
"Hello..,"aku bersuara lambat-lambat.
"Hello. Adiya ya? Fir ada cakap pasal weekend ni?,"
"Ha? Oh.. Ada,"
"Datanglah ya. Kalau berkumpul ramai-ramai, meriah sikit,"
"Err…,"
"Datang ya? Jangan tidak pula,"
Aku bungkam. Mataku bulat memandang Encik Firdaus yang tersenyum panjang.
"Adiya? Kenapa? Tak boleh datang ke?,"
"Eh, tak,"
"Kalau macam tu, jadilah ya?,"
"Jadi? Jadi apa?,"seperti orang bodoh aku bertanya. Sesungguhnya aku tidak tahu apa yang sedang kami bualkan. Terdengar gelak di hujung talian. Puan Junaidah ketawakan aku.
"Jadi datang rumah auntylah, sayang,"mesranya bicara Puan Junaidah. Kelu aku dibuatnya. Anak dengan emak, kedua-duanya pandai mencantas bicaraku. Pandai membuat aku terdiam. Pandai membuat aku terkelu.
"Jadi ya?,"
Aku tersentak. Terkejut. Sempat pula aku melayan perasaan.
"Ya,"sepatah jawapan itu meluncur laju. Melatah ke aku ni? Nak tarik balik ke? Aku gigit jari.
"Good. Aunty tunggu,"
Tak jadi tarik balik. Betullah kata orang tua-tua, terlajak kata, tidak boleh hendak diundur.
"Ok,"lemah jawapan yang aku berikan.
"Hmm. Bagus. Oklah. Aunty ada kerja sikit ni. Assalamualaikum,"
"Waalaikumussalam," gagang telefon aku hulurkan semula pada Encik Firdaus. Encik Firdaus menyambutnya bersama dengan senyuman yang cukup lebar. Cukup-cukup lebar sehingga aku rasa ingin saja aku jahit mulut itu.
"So? Macam mana?,"
Aku menjeling lagi. Buat-buat tanya pula.
"I noticed, awak sekarang ni, dah pandai jeling-jeling and tarik muka dengan bos ya?,"
Sekali lagi wajahku disimbah bahang malu. Terasa pijar muka ini.
"Saya keluar dulu,"akhirnya aku bersuara sambil melangkah laju ke pintu. Encik Firdaus tergelak lagi. Geramnya aku.
"Saya jemput awak this weekend,"
Suara itu melekat di gegendang telingaku sebaik pintu biliknya aku tutup. Terasa degup jantung aku semakin tidak normal. Buat aku jadi gundah saja. Perlahan aku menarik nafas sedalam mungkin. Aku tidak boleh hanyut dengan godaan Encik Firdaus. Tidak boleh!

No comments:

Post a Comment