Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 30

Chapter 24
Aku bersandar di kerusi. Agak penat setalah hampir setengah hari menghadap kerja yang tertangguh. Akhirnya meja dan kerusi Lisa menjadi milikku. Aku tidak perlu lagi duduk di dalam bilik Encik Firdaus. Bebas untuk bergerak. Tidak perlu lagi terikat dengan pandangan Encik Firdaus yang sedikit menggugat setiaku pada Charming. Sedang aku asyik meneliti e mail aku terdengar ketukan bertalu di meja. Perlahan aku mengangkat muka. Disuakan dengan sebuah senyuman yang amat lebar.
"Hai Si manis. Apa khabar?,"
Aku tersenyum nipis. Farid tersengih di hadapanku bersama senyum nakalnya.
"Baik,"jawabku sepatah.
"Nak jumpa dengan Encik Firdaus ya?,"
"Sebenarnya nak jumpa dengan awak, Adiya,"
Aku tersenyum. Farid memang terlalu peramah orangnya. Sedikit berbeza dengan Encik Firdaus yang agak terkawal perangainya.
"Sekarang ni, Encik Firdaus ada discussion dengan Tuan Rashid. Encik Farid duduklah dulu,"
"Ok. No problem. Kalau you suruh I duduk sini sampai you balik pun, I sanggup. Ajak I ikut you balik, lagi I sanggup,"Farid bersuara sambil mengenyitkan mata. Aku tersenyum. Memang lelaki cukup bersahaja orangnya. Tanpa mempedulikannya, aku kembali membaca deretan nama pengirim ke e mail ku.
"Tanya sikit, boleh?,"Farid bertanya sambil menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di hadapanku.
"Kalau Encik Farid nak tanya sesuatu, sepatutnya Encik Farid pergi kat receptionist sana. Barangkali dia orang ada semua maklumat yang Encik nak tahu,"
Farid tergelak.
"Jual mahal ya? Tak apa. I like it,"
Aku tersenyum. Sindiranku tidak berkesan. Kebal rupanya lelaki ini.
"Information yang I nak ni, tak ada kat sana,"
"Oh. Ya ke? Information apa tu?,"
"You ni single lagi ke?,"
"Oh.. Itu ke yang Encik nak tahu? Maaflah. Soalan tu private and confidential. Tak boleh dikongsi,"
Farid tersenyum sambil mengangguk perlahan. Matanya tidak lepas dari wajahku. Membuat aku sedikit rimas. Meski aku tahu Farid mungkin cuma ingin mengusik, namun gelagat lelaki ini tetap membuat aku terganggu. Aku pandang ke bilik Encik Firdaus. Dengan tirai yang terbuka,dari cermin kaca, aku melihat Tuan Rashid masih rancak berbicara sesuatu. Dan, Encik Firdaus pula, cuma mendengar sambil matanya terarah ke arah kami. Cukup serius pandangan itu. Aku larikan pandangan ke wajah Farid. Entah apalah yang sedang mereka bincangkan, sehingga rupa Encik Firdaus seserius itu.
"Encik Farid kerja di Singapore ya?,"soalku sekadar berbasa basi. Labih baik aku bercakap tentang dirinya daripada terpaksa menjawab soalannya yang mengarut itu.
"Ha ah. Sekarang ni saya cuti panjang,"
"Cuti panjang?,"
Farid tersenyum sambil mengangguk.
"Cuti kahwin ke?,"
"Ish. Soalan jenis apa tu? Muka saya ni macam orang dah kahwin ke? Saya ni, masih single and available. Tahu tak? Lagipun, selagi abang saya tu tak kahwin, macam mana saya nak kahwin? Kalau saya kahwin dulu, alamatnya sampai ke tualah dia tak kahwin,"
"Kenapa pula?,"
"Hilang seri. Hilang jodoh,"jawabnya bersama tawa kecil. Aku cuma memandang. Apalah yang dia bebelkan ni? Tidak akan hilang seri lelaki tampan seperti Encik Firdaus tu.
"Saya ingat nak balik kerja di sinilah. Tak tahu kenapa, terasa macam jodoh saya kat sini,"dia bersuara bersama senyum panjang sambil mengangkat kening.
"Encik ni, kelakar ya? Kalau jadi badut, mesti ramai budak-budak suka,"balasku sambil tersenyum manis. Senyum yang terukir di bibirku, ternyata berjaya mematikan senyumnya. Sukanya hati aku dapat kenakan dia.
"Badut? Orang handsome macam saya, awak suruh jadi badut? Dulu salesman. Sekarang badut pula? Awak ni, memanglah tak patut,"
Aku tergelak kecil.
"Encik Farid marah ke? Kalau marah, maaflah ya,"
"Tak. Tak. Mana boleh saya nak marah orang cantik macam awak,"balas Farid dengan nada bergurau. Aku tersenyum kecil. Melihat pintu bilik Encik Firdaus terbuka, aku tidak lagi menyambung bicara. Encik Firdaus melangkah keluar bersama bapanya. Laju melangkah ke arahku.
"Hai, Angah. Apa mimpi ke mari ni?,"soalnya tanpa memandangku. Aku kembali menumpukan perhatian ke screen komputer.
"Saja singgah. Rindu pula pada Adiya ni,"selamba Farid menjawab. Aku mengangkat muka. Ada ke aku terbabit sekali dalam perbualan mereka. Farid tersenyum lawa sambil mengangkat kening. Encik Firdaus diam tidak bereaksi.
"Farid! Come. Abah ada sesuatu nak cakap dengan kamu,"tiba-tiba suara Tuan Rashid mencelah perbualan dua beradik itu. Aku pula, sekadar menjadi penonton. Sedikit lucu melihat muka Farid yang berkerut sebaik dipanggil bapanya.
"Apa dia Abah? Farid nak keluar lunch dengan Along ni. Abah cakap kat rumahlah nanti,"
"Now. Bukan senang abah nak jumpa kamu kat rumah,"tegas suara Tuan Rashid membuat aku sedikit gerun. Farid mengeluh lemah sambil Encik Firdaus tersenyum panjang.
"Along. Tolonglah. Orang tak ada mood nak dengar ceramahlah. Coverlah sikit,"Farid bersuara sambil mendongak memandang wajah abangnya. Aku tersenyum lucu. Kelakar melihat Farid buat muka kasihan. Encik Firdaus pula, membuat muka selamba. Manja juga si macho ini rupanya. Adik manja nampaknya ni.
"Farid..,"
"Ok Abah. Coming,"lesu suara Farid sambil mengangkat punggung. Sempat pula dia kenyitkan mata padaku sebelum berlalu mengekori Tuan Rashid. Aku tersengih.
"Happy nampak,"tegur Encik Firdaus tanpa senyum. Aku sambung sengihku.
"Seronok balik kampung?,"soalnya sambil memandangku.
"Balik kampung, mestilah seronok, Encik,"
"Next time boleh bawa saya sekali ya. Teringin juga nak rasa suasana kampung. Macam mana seronoknya tu. Maklumlah, saya mana ada kampung,"
Aku senyum. Tidak mengambil serius kata-kata Encik Firdaus.
"Jom,"
Aku sedikit terkedu. Pelik dengan ajakan Encik Firdaus.
"Ke mana?,"
"Laa.. lunchlah. Saya belanja. Please. Jangan bagi alasan lagi,"
Aku terdiam. Tak naklah aku keluar dengan Encik Firdaus.
"Err.. saya puasalah Encik,"
Encik Firdaus tersenyum meleret. Aku tidak tahu apa makna senyumannya itu. Tapi, yang paling aku pasti saat ini, senyuman itu membuat aku rasa seperti aku akan malu sendiri lagi.
"Mazhab mana awak pakai, puasa… bersahur pukul sepuluh pagi?,"soal Encik Firdaus tersenyum nakal. Kan aku dah cakap! Mesti aku malu lagi. Macam mana dia tahu aku tipu ni? Dia nampak ke aku minum horlicks pagi tadi? Mana aku nak sorok muka aku yang dah macam udang kena bakar ni? Encik Firdaus tergelak kecil.
"Sudah. Jangan nak cari alasan lagi. Ikut saja,"
Aku sudah tidak berani banyak cakap. Sudahnya, seperti di pukau, aku mengangkat punggung. Mencapai beg tanganku. Encik Firdaus tersenyum lagi.
"Kan senang macam tu. Ini, susah sangat. Macam-macam alasan. Nak ajak anak raja makan pun, tak susah macam ni tau,"
Aku diam. Membebel pula dia. Kan aku dah setuju ni. Diam jelah. Kalau tak susah, ajak sajalah anak raja yang makan. Janganlah ajak aku. Hatiku turut mengomel. Dengan muka yang berwarna-warni macam pelangi, akibat malu, aku terus mengekornya dari belakang.
***
Aku melihat sekeliling. Kemudian memandang Encik Firdaus yang tenang memandu. Hati sudah digaru rasa gelisah. Takkan nak pergi makan kena masuk kawasan perumahan pula. Kawasan perumahan orang-orang kaya pula tu. Hati ingin bertanya, tetapi mulut terasa berat pula. Rasa malu akibat kantoi tadi pun, belum hilang lagi. Sebaik Encik Firdaus memperlahankan keretanya dan memberi signal untuk membelok masuk ke sebuah banglo besar, aku sudah tidak senang duduk. Wajah tenang Encik Firdaus aku pandang sekali lagi.
"Kita nak ke mana ni Encik? Kata tadi nak pergi lunch,"aku bersuara dengan suara sedikit bergetar.
"Yelah. Nak pergi lunch lah ni,"
"Lunch? Kat sini? Ni, rumah siapa ni? Tak naklah saya. Saya nak balik officelah,"aku bersuara gundah. Apa kena Encik Firdaus ni? Aku tidak betah di kerusi sebaik pintu pagar automatik terbuka perlahan, dan kereta BMW Encik Firdaus memasuki perkarangan banglo yang besar itu. Enjin kereta dimatikan sambil matanya memandangku.
"Jom,"
"Tak naklah saya. Entah rumah siapa ni. Saya tunggu kat dalam kereta jelah,"
Encik Firdaus senyum.
"Dah. Jangan nak mengada. Jom masuk,"
Aku kerutkan kening. Mulut pun sudah sedikit memuncung. Geram bila diarah sesuka hati. Tanpa menghiraukan ajakan Encik Firdaus, aku masih kaku di tempat duduk.
"Ini rumah sayalah. Jomlah,"
"Hah?! Rumah encik? Buat apa kita kat sini?,"bukan sedikit riak terkejut di wajahku. Aku pasti sangat tentang itu. Kerana aku nampak senyum di bibir Encik Firdaus pun cukup lebar. Kelakar tengok aku terkejut beruklah tu.
"Jumpa mummy saya,"ujar Encik Firdaus selamba. Aku mati kutu. Kalau tadi, aku puji Encik Firdaus lebih baik perangai berbanding adiknya. Sekarang, aku rasa dua-dua dah sama perangai. Biar betul. Apa hal pula aku nak kena pergi jumpa mummy dia? Jantung sudah berdegup kencang. Badan pula terasa seram sejuk. Pandai betul Encik Firdaus menakutkan aku. Masuk rumah hantu pun, tidak setakut ini.
"Nak jumpa mak Encik Firdaus buat apa?,"
"Berkenalanlah,"mudahnya jawapan dia. Kenapa tiba-tiba Encik Firdaus jadi nakal ni? Aku tersenyum sumbing. Maaflah Encik Firdaus. Lawak awak tak kelakar.
"Saya tertinggal something. Nak pergi ambil kejap,"akhirnya Encik Firdaus bersuara. Memberi alasan yang sedikit logik. Aku tersenyum kecil.
"Ohh.. Kalau macam tu, Encik pergilah ambil. Saya tunggu kat sini,"
"Jomlah masuk sekali,"
Aku mahu menolak lagi. Tapi, aku rasa sudah terlambat. Seorang wanita sebaya ibuku sudah pun tercegat di muka pintu bersama sekuntum senyuman yang amat lebar.
"My mummy. Jomlah,"
Aku tersenyum kecut. Rasa berdebar sekali lagi menyerang. Rasa seperti hendak bertemu dengan bakal ibu mentualah pula. Perlahan aku membuka pintu kereta sambil melangkah keluar. Sumpah! Selepas ini aku tidak akan setuju untuk keluar bersama Encik Firdaus lagi.
"Haa. Dah sampai pun. Jom masuk,"
Aku pandang wajah Encik Firdaus dengan pandangan hairan. Lain macam bunyi ayat ibunya. Seolah-olah sedang menunggu kehadiran kami. Kata hendak ambil barang tertinggal. Encik Firdaus cuma tersengih.
"Fir. Jomlah masuk. Ajak Adiya sekali,"
Aku melangkah mendekati Puan Junaidah, ibu majikanku itu. Rupa-rupanya wanita ini tahu namaku.
"Apa khabar Puan?,"sapaku sambil menyalami tangannya. Wanita itu tersenyum mesra.
"Baik. Jom masuk,"balasnya sambil menarik aku masuk. Mesranya Puan Junaidah. Tidak pula aku tahu wanita ini begitu mesra orangnya. Sedikit kagum aku tatkala melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu. Cantiknya.
"Mummy, Fir naik atas kejap. Ada barang tertinggal. Diya, awak sembang dengan mummy saya, ya,"
Aku cuma tersenyum. Apa lagi yang mampu aku buat?
"Adiya sihat?,"
"Sihat, Puan,"
Puan Junaidah tersenyum.
"Dah makan ke belum ni?,"
"Belum. Lepas ni kot, Puan,"
"Hmm.. Baguslah tu. Makan saja kat sini. Makan tengahari pun dah siap. Jom ke dapur,"Puan Junaidah menarik tanganku. Dan aku cuma mengikut. Kalau macam ni punya baik, bertuah sesiapa yang menjadi menantu Puan Junaidah ni.
"Menyusahkan Puan saja. Tak apalah Puan,"aku menolak dengan baik. Seganlah pula nak makan di sini.
"Tak ada susahnya. Tini! Siapkan makan tengahari ya. Kita ada tamu ni,"riuh Puan Junaidah bersuara. Membuat kekok yang kurasa sedikit menghilang. Pembantu rumahnya bergegas menyiapkan meja makan. Aku pula cuma menjadi pemerhati.
"Fir! Cepat sikit. Mari makan sekali,"sekali lagi suara ramahnya kedengaran. Aku tersenyum. Jarang aku bertemu orang kaya yang seramah itu. Tidak sombong langsung.
"Coming mummy,"aku menoleh ke belakang sebaik mendengar suara Encik Firdaus. Hari ini, aku melihat Encik Firdaus dari sudut yang berbeza. Bukan lagi sebagai majikan aku. Tetapi, sebagai seorang anak yang kelihatan cukup akrab dengan ibunya. Leka aku melihat dia yang begitu mesra dengan Puan Junaidah.
"Adiya. Duduklah,"pelawa Puan Junaidah apabila menyedari aku masih tercegat di tepi meja. Aku mengangguk akur. Encik Firdaus tersenyum sambil memandangku.
"Assalamulaikum,"
Suara itu menarik perhatianku. Seperti aku kenal suara itu.
"Waalaikumussalam. Mia..,"cukup girang suara Puan Junaidah menyambut kehadiran tetamu itu. Aku berpaling. Mia melangkah santai ke ruang dapur bersama senyum yang mekar di bibir. Membuat aku sedikit terganggu. Tingkah Mia jelas menunjukkan yang dia sudah terlalu biasa dengan rumah ini.
"Hai. Adiya pun ada?,"sapanya senang.
Aku cuma tersenyum kecil. Mia memandang ke arah Encik Firdaus.
"Am I disturbing?,"soalnya sambil mata masih tertancap pada wajah majikanku itu.
"Nolah. Come and join us,"balas Encik Firdaus mesra. Mia tersenyum.
"Then ok. Hai mummy. How are you?,"sapa gadis itu sambil mengucup tangan Puan Junaidah. Puan Junaidah tersenyum senang. Aku terpaku melihat Mia mencium mesra pipi Puan Junaidah. Sekilas aku mencuri pandang ke arah Encik Firdaus. Sebuah senyuman terukir di bibirnya.
"Baik. Duduk. Kita makan sama-sama,"
Aku pandang dengan rasa yang terbuku. Dan satu lagi, Mummy? Dia panggil ibu Encik Firdaus mummy? Mesranya hubungan mereka. Memang sah bakal menantu ni. Tapi, kenapa pula aku harus rasa geram?
"Kaki you dah ok ke, Adiya?,"
"Dah. Lagipun sikit je,"aku menjawab bersama sekuntum senyuman yang penuh kepura-puraan. Kenapa dengan aku ni?
"Hmm. Kaki Firlah yang teruk sikit ya?,"
"Ye ke?,"soalku sambil memandang wajah Encik Firdaus. Betul ke? Tak tahu pula aku.
"Ha ah. I tak benarkan dia main futsal sebulan. Takut nanti sakit balik,"
"Tak adalah. Tak teruk sangat pun. You saja yang lebih-lebih,"sangkal Encik Firdaus sambil menarik kerusi di sebelahnya. Memberi isyarat agar Mia duduk di sebelahnya.
"Mana ada I lebih-lebih? Sebulan. Ingat tu. Sebulan,"balas Mia sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Encik Firdaus mencebik. Aku pula menjadi penonton adegan gaduh-gaduh manja itu dengan perasaan yang bergelora. Entah kenapa? Aku sendiri tidak pasti. Takkan aku sukakan Encik Firdaus kot.
"Actually hari minggu ni, I memang ada macth pun. Awak nak ikut Diya?,"
"Hah? Apa?,"soalku terkulat-kulat. Tidak dengar dengan jelas soalan Encik Firdaus.
"Hari minggu ni, saya ada futsal macth. Nak ikut?,"
"Excuse me. You nak pergi,boleh. But, as the penonton ya. Jangan mengada nak main. Mummy, jangan benarkan dia main ya,"sempat pula Mia menyampuk.
Aku cuma memandang. Puan Junaidah tergelak sambil Encik Firdaus menjeling. Aku pula, rasa ingin pergi dari situ secepat mungkin.
"You datang ni, semata-mata nak cari gaduh dengan I ke?,"
Mia tersengih.
"No. Mia bawa barang yang mummy pesan tu. Ada kat dalam kereta,"balas Mia sambil memandang wajah Puan Junaidah. Puan Junaidah mengangguk sambil senyum lagi.
"Ok? Diya? Hari minggu ni, ya?,"soal Encik Firdaus tiba-tiba.
"Hah? Oh.. Hmm..,"aku menjawab dengan bahasa yang aku sendiri tidak faham.
"Ok. Good. So, this Sunday, saya akan jemput awak,"
Hah?! Jawapan aku dianggap sebagai satu kata putus bahawa aku setuju untuk keluar dengan dia ke? Dan, Mia ni, kenapa mukanya seperti tidak kisah saja? Sporting betul kekasih Encik Firdaus ni. Kalau aku, mahu berasap kepala kalau kekasih ajak perempuan lain keluar. Depan mata sendiri pula tu. Pelik betul pasangan ini.

No comments:

Post a Comment