Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 9

ARE you okay?”

Soalan Sharifah secara tiba-tiba itu membuatkan

aku tersentak. Pen di tangan terpelanting ke lantai. Ruparupanya

cukup lama aku mengelamun. Fail yang kuambil,

rupa-rupanya masih terletak elok di atas meja. Tak berusik.

Sharifah tersengih sumbang melihat aku

terperanjat besar menanggapi sapaannya. Mungkin sudah

bersedia untuk dimarahi. Perkara wajib yang akan aku

lakukan setiap kali dia membuat aku terperanjat. Namun,

tiada kata-kata marah yang keluar dari mulutku. Tiada

keinginan untuk memarahi sesiapa. Apa yang bersarang di

hati lebih membuat aku susah hati. Membuat aku gundah

gulana.

Sharifah menongkat dagu di mejanya sambil

matanya bulat memandangku.

“Any problem?” soalnya dengan wajah cukup

bersimpati.



Aku menjeling. Sudah tahu lagi mahu tanya ke?

Padahal tiap-tiap malam sejak kebelakangan ini, dia melihat

muncung aku yang sikit punya panjang setiap kali telefonku

berdering.

“Abang Kamal?” tekanya bersama senyuman kecil

yang menguntum di bibir.

Aku mengeluh perlahan sambil bersandar di kerusi.

“Siapa lagi?” ujarku pendek. Jeritan telefon

bimbitku, memendekkan lagi bicara. Aku menjengah. Abang

Kamal. Aku mengeluh berat. Kenapalah lelaki ini tidak pernah

mahu mengerti yang aku tidak sukakan dia lagi? Telefon

kubiarkan menjerit sendirian.

Sharifah sekadar memandang. Tidak lagi bertanya.

Pasti dia juga sudah tahu siapa gerangan pemanggil yang

berjaya membuat mukaku berkerut seribu. Yang berjaya

membuat mukaku menjadi cuak semacam. Setelah lama

menjerit, akhirnya telefonku diam. Tetapi, cuma seketika.

Jeritan yang lain pula menyentap kalbu. Sistem pesanan

ringkasku menerima pesanan. Dengan malas aku mencapai

juga telefon yang minta dipegang itu. Membuka pesanan

yang dihantar.

Abang kat luar. Keluar cepat. Kita lunch sama.

Abang tunggu ni.

Aku ternganga. Gila! Betul-betul gila.

“Kenapa Diya? Macam nampak hantu aja aku

tengok,” tegur Sharifah pelik.

Aku pandang wajah Sharifah tanpa berkelip.

Telefonku kuhulurkan padanya.



Sharifah mencapai, kemudian membaca pesanan

daripada Abang Kamal. Sekarang matanya pula membulat

memandangku. Sekarang baru kau tahu kenapa muka aku

macam nampak hantu. Sebab memang hantu pun yang

sedang menungguku di luar.

“So, macam mana?”

Aku cuma menjongket bahu. Mana aku tahu!

“Takkan kau nak biarkan dia tunggu kau kat luar

tu?

Aku jegilkan mata pada Sharifah.

“Takkan kau nak aku keluar dengan dia? Gila apa

kau ni?" soalku geram. Kalau dengan Si Charming pun aku

tak nak jumpa, apatah lagi dengan makhluk Tuhan yang

paling aku benci ini.

“Bukanlah keluar dengan dia. Tapi, pergilah jumpa

dia kejap. Cakaplah kau dah makan ke, tak boleh keluar ke…

sekurang-kurangnya tak adalah dia duduk aja kat luar tu.”
“Tak naklah aku!”

“Tak bolehlah macam ni. Pergi ajalah kejap.”

Telefonku berdering sekali lagi.

Sharifah menatap skrin telefon yang masih berada

di tangannya.

“Abang Kamal lagi. Better kau pergi jumpa dia

kejap. Suruh dia pergi.”

“Masalahnya, aku takut. Aku takut nak jumpa dia!”

“Kalau kau takut, dia akan ambil kesempatan atas

kau. Percayalah cakap aku. Kau mesti berani. Berani

melindungi diri kau sendiri. Cubalah… aku tahu kau boleh

buat!”



Aku menjeling marah. Senanglah kau cakap,

Sharifah oiii. Kau tak lalui apa yang aku lalui, bentak hatiku.

Syarifah tersenyum. Tetapi, kali ini senyumannya

seperti membakar semangatku. Senyuman pendorong untuk

aku jadi lebih berani.

Aku terdiam sejenak. Mungkin Sharifah betul.

Sudah sampai masanya untuk aku menjadi lebih berani. Aku

mesti lawan ketakutan yang membaluti jiwaku sekian lama.

Ketakutan yang menjarakkan aku dengan kaum Adam. Aku

mesti kuat. Tapi, cukup kuatkah aku untuk melakukan

perubahan itu?

“Apa lagi? Pergilah! Dah tiga kali dia call kau ni.”

“Kalau dia paksa aku macam mana? Dia suka paksa

orang.” Aku bersuara lemah. Tiba-tiba sahaja semangatku

yang berkobar-kobar tadi hilang entah ke mana. Yang tinggal

cuma rasa gerun untuk berhadapan dengan Abang Kamal.

Sharifah mengeluh panjang. Tajam matanya

merenung wajahku. “Kau bukan budak kecik lagi. Kau dah

cukup dewasa untuk melawan dia. Kau berhak membuat

keputusan kau sendiri. Lagipun, dia tu siapa nak paksa-paksa

kau?”

Aku mengangguk perlahan. Dalam situasi tertentu,

pendapat Sharifah boleh juga dipakai. Perlahan-lahan aku

mengangkat punggung. “Aku pergi ni. Kau doakan aku jadi

orang berani ya?”

Sharifah tergelak. “Selama ni, orang yang takut nak

jumpa kau. Hari ni, terbalik pula ya?”

Aku mencebik sambil mula mengatur langkah

dengan perasaan yang bercampur-baur. Ada rasa takut. Ada

rasa marah. Ada rasa geram. Ada rasa benci. Yang banyaknya,

rasa takut. Aku cukup gerun mahu berhadapaan dengan



Abang Kamal. Tapi, kalau dibiarkan, mungkin telefonku akan

terus menjerit hari ini.

“Kuatkan semangat. Aku yakin, Malaysia boleh.

Kau… aku tak tahulah,” ujar Sharifah bersama gelak kecil.

Loyar buruk pulak minah ni! Aku cuma tersenyum

kelat. Dengan langkah yang berbelah bahagi, aku pergi juga.

Melihat dari jauh, seorang lelaki segak berdiri di

sebelah motosikal berkuasa tinggi. Semakin hampir, terasa

degupan jantungku semakin kencang.

Sebuah senyuman yang cukup lebar menghias

seulas bibir merah jambu yang ditemani sedikit kumis nipis.

Entah kenapa, senyuman itu tidak nampak manis di

mataku. Abang Kamal sudah agak berbeza penampilannya.

Sudah sedikit kemas berbanding enam tahun dahulu. Juga

sudah agak berisi berbanding dengan tubuhnya yang kurus

melidi suatu masa dahulu.

“Lama abang tunggu. Sibuk ke?”

Itulah ayat pertama yang menyentuh gegendang

telingaku. Aku cuma memandang wajah itu tanpa perasaan.

Abang Kamal nampak begitu gembira. Dia menghulurkan

helmet padaku. Aku tidak bereaksi.

“Abang buat apa kat sini?” soalku dingin.

“Kan abang dah cakap. Abang nak ajak Tiha keluar

lunch.”

“Saya tak nak.”

Wajah Abang Kamal sedikit berubah. “Tiha…

kenapa ni?”

“Saya sibuk. Banyak kerja nak buat. Lagipun saya

dah makan dengan kawan saya tadi.”

tentang cinta yang perlahan-lahan melukakan hatiku

No comments:

Post a Comment