Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 27

Chapter 21
Salam Abang Kamal aku jawab dengan suara yang cukup ceria. Tersenyum lebar meyambutnya di pintu. Namun, senyumku cuma dipandang sepi oleh Abang Kamal.
"Abang Kamal. Kenapa ni?,"
"Abang nak cakap sikit,"
Aku kerutkan kening. Pelik melihat wajah Abang Kamal yang kelihatan sugul.
"Apa dia? Naiklah," pelawaku sambil tersenyum manis. Abang Kamal akur. Melangkah longlai mengekoriku sehingga ke ruang tamu.
"Duduklah,"
Abang Kamal melabuhkan punggung tanpa banyak bicara.
"Abang cari mak ke? Mak tak ada,"
"Abang tahu. Mak Su ada kat rumah abang. Abang nak cakap sikit dengan Tiha,"
Aku tergelak kecil. Pelik melihat gelagat Abang Kamal. Sepatutnya Abang Kamal gembira kerana dalam masa tidak sampai dua minggu lagi, dia akan terbang jauh ke negara asing. Menghabiskan masa beberapa tahun di Bumi British. Mendalami bidang yang dari dulu memang menjadi impian Abang Kamal. Bidang kedoktoran. Abang Kamal mahu menjadi doktor pakar. Pakar ortopediks. Aku sokong Abang Kamal. Aku pun kalau boleh mahu berjaya seperti Abang Kamal. Tetapi bukanlah sebagai seorang doktor. Sebab aku takut darah. Aku cepat pitam bila nampak darah. Aku suka angka dan nombor. Jadi, aku mahu berjaya sebagai seorang akauntan.
"Abang nak cakap apa? Cakaplah,"aku bersuara setelah melihat Abang Kamal membisu agak lama. Abang Kamal amat lain malam ini. Membuat aku sedikit pelik. Aku menyusun buku rujukan akaun di atas meja. Mahu menumpukan perhatian pada Abang Kamal.
"Kita kahwin, nak?,"
Aku terbatuk mendengar kata-kata Abang Kamal yang tiba-tiba. Abang Kamal mengigau ke ni? Aku tergelak kecil.
"Apa Abang cakap ni? Abang ngigau ya? Mengarutlah abang ni," ujarku sambil menolak buku ke tepi. Tiba-tiba Abang Kamal menyentuh jemariku. Aku terpaku seketika. Wajah Abang Kamal aku pandang. Wajah itu cukup serius.
"Abang serius. Kita kahwin. Ikut abang pergi England,"
"Abang. Tiha ni, sekolah lagilah. Tak ada masa nak fikir benda tu semualah. Tiha nak tumpukan perhatian pada STPM Tiha je. Lagipun, kita kan sepupu. Mana boleh kahwin? Tak berapa elok,"balasku separuh bergurau. Tersengih menanggapi wajah serius Abang Kamal. Mana tahu Abang Kamal cuma hendak buat lawak.
"Abang serius ni. abang tak main-main. Abang cintakan Tiha. Abang tak mahu kehilangan Tiha. Abang nak kita kahwin. Kalau Tiha tak nak ikut abang, tak apa. Kita kahwin, dan Tiha terus sambung belajar di sini. Ok? Janji kita kahwin,"
"Abang. Tiha anggap abang tak lebih dari abang Tiha. Soal cinta ni, jauh lagi untuk Tiha fikirlah,"
"Abang cintakan Tiha. Selama ini, abang pendam perasaan abang. Tapi, abang dah nak pergi. Abang tak boleh terus rahsiakan perasaan abang. Abang nak ada satu ikatan yang kukuh antara kita sebelum abang pergi. Ikatan perkahwinan," suara Abang Kamal sedikit mendesak, membuat aku sedikit rimas.
"Tak naklah. Tiha tak ada apa-apa perasaan pada abang. Tiha cuma sayang abang sebagai abang Tiha. Tu je,"
Abang Kamal melutut di hadapanku. Memegang kedua-dua tanganku. Membuat aku terkejut besar.
"Please Tiha. Setujulah,"
"Abang janganlah paksa Tiha. Tiha tak sukalah. Tiha cakap tak nak, tak naklah,"
"Please Tiha. Abang tak boleh hidup tanpa Tiha,"Abang Kamal bersuara separuh merayu. Membuat aku jadi takut.
"Apa ni bang? Janganlah macam ni. Tiha tak sukalah,"
Lebih mengejutkan apabila Abang Kamal tiba-tiba menarik aku rapat padanya. Aku meronta.
Kini aku benar-benar takut akan tindakan Abang Kamal. Lelaki ini seperti sudah hilang pertimbangan.
"Abang mahu Tiha jadi milik abang,"
Aku mula menangis ketakutan. Kekuatan Abang Kamal tidak mampu aku lawan. Dengan mudah Abang Kamal mengangkat tubuhku. Mendukung aku masuk ke bilik aku yang terbuka. Pintu dia kunci dari dalam. Tidak! Apa yang Abang Kamal cuba lakukan ini?
"Lepaslah abang. Jangan buat Tiha macam ni,"aku menjerit sambil meronta kuat. Aku tidak akan menyerah. Abang Kamal mencampak aku ke katil. Cepat-cepat aku bangkit lalu berlari ke pintu. Belum sempat pintu aku buka, Abang Kamal sudah memeluk aku dari belakang. Aku menjerit ketakutan.
"Abang. Tiha rayu. Jagan apa-apakan Tiha,"
"Abang nak Tiha jadi milik abang. Mungkin ini saja caranya untuk abang dapatkan Tiha,"suara Abang Kamal cukup dekat di telingaku. Membuat seluruh tubuhku menggigil ketakutan. Ya Allah selamatkanlah aku.
Aku terus meronta saat Abang Kamal menolak aku dinding. Memeluk aku erat.
"Abang tolong jangan buat macam ni. Tiha ni sepupu abang. Saudara abang..,"aku merayu lagi. Ternyata rayuanku tidak berbekas pada Abang Kamal. Malah lelaki itu semakin berani menarik baju yang aku pakai.
"Abang! Jangan!,"jeritku kuat saat bajuku koyak. Aku tutup bahuku yang terbuka dengan telapak tanganku. Air mata lencun di pipiku. Abang Kamal pula terpana seketika. Kaku mendengar jeritanku.
"Tiha…,"
"Abang jahat. Abang jahat," aku bersuara sendu. Terjelepuk di lantai. Semangatku terasa hilang. Teresak menahan ketakutan yang tidak bertepi. Abang Kamal melangkah menghampiriku. Aku pandang wajahnya. Wajah yang kelihatan amat bersalah. Perlahan dia menyentuh bahuku, membuat aku tersentak. Rasa takut kembali lagi.
"Pergi! Tiha benci abang. Pergi!,"
"Tiha.. Abang minta maaf. Abang tak bermaksud. Abang tak sedar sayang..,"
"Pergi!,"jeritku sekali lagi. Aku tunduk. Takut untuk melihat wajah Abang Kamal. Takut akan berulang lagi perbuatan syaitan Abang Kamal.
"Pergi.. Jangan ganggu Tiha..,"aku merintih merayu Abang Kamal pergi.
"Ok. Abang pergi. Abang minta maaf Tiha. Abang benar-benar tak bermaksud. Tolong jangan benci abang. Tolong..,"
"Tiha benci abang..,"kata-kata itu keluar tanpa sedarku. Air mata pula cukup mudah mengalir membasahi pipi. Kuseka perlahan.
"Abang faham kalau Tiha bencikan abang..,"suara itu membuang jauh kenangan pahit yang bertamu di birai ingatan. Aku menoleh. Abang Kamal tercegat di belakangku. Aku membuang pandang. Menyampah melihat wajah lelaki ini.
"Boleh abang duduk?,"
"Kenapa nak minta kebenaran? Kan abang suka buat keputusan tanpa minta kebenaran saya,"
Aku lihat Abang Kamal tersenyum kecil. Perlahan dia melabuhkan punggung di atas pangkin, di sebelahku.
"Mak Su cakap dah dua hari Tiha asyik menangis,"
"Abang peduli apa?,"
"Sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan abang dulu,"
"Penjelasan apa lagi? Dulu abang cuba dapatkan saya secara paksa. Lepas tu, abang janji abang tak akan buat lagi. Tapi, sekarang? Sekarang abang buat lagi kan? Cuma caranya berbeza. Kali ni, nampak lebih terhormat kan?,"
"Tiha salah faham,"
"Salah faham apa lagi?,"
"Abang tak suruh mak abang datang merisik. Abang tak pernah suruh pun,"
Aku mencebik. Geram melihat sandiwara Abang Kamal.
"Abang tak suruh. Abang terkejut bila mak abang call and beritahu dia merisik Tiha untuk abang. Abang terus call Mak Su. Nak terangkan segalanya pada Tiha. Tapi, Tiha tak nak cakap dengan abang,"
Aku diam. Perlahan aku pandang wajah Abang Kamal. Boleh percaya ke ni?
"Abang balik untuk jelaskan salah faham ni pada Tiha,"
"Salah faham apa?,"soalku perlahan. Tidak lagi sekeras tadi. Marahku terasa sedikit mengendur.
"Bukan abang yang suruh mak abang datang merisik. Abang sayang sangat pada Tiha. Tak mungkin abang boleh sembunyikan perasaan yang cukup lama abang simpan ni. Mungkin mak abang perasan perasaan abang tu. Sebab tu, dia buat macam ni,"
"Abang tahu saya tak boleh terima ini semua kan?,"soalku sambil merenung wajah Abang Kamal.
"Sebab tu abang balik ni. Abang dah jelaskan pada mak abang. Ini semua salah faham. Tiha tak payah risaulah. Abang akan pastikan kali ini, abang akan tunggu Tiha setuju. Abang tak akan paksa Tiha lagi,"
Aku diam.
"Dan.. Janganlah benci abang lagi. Abang tak sanggup nak tengok Tiha terus pandang abang dengan pandangan yang penuh dengan kebencian tu. Sakit sangat kat sini,"Abang Kamal meluahkan perasaan sambil tangannya di letakkan ke dada. Aku diam lagi.
"Abang tahu, apa yang berlaku dulu, abang yang salah. Abang menyesal Tiha. Menyesal sangat-sangat. Hancur hati abang selepas abang sedar abang cuba lakukan perkara yang sangat bodoh pada Tiha. Abang minta maaf,"
"Sudahlah bang. Benda tu dah lama berlalu,"
"Tapi, sikit pun Tiha tak lupa. Kan? Walau dah lama berlalu, benci Tiha sikit pun tak kurang. Kan?,"
Aku tunduk. Diam adalah lebih baik aku rasa. Menidakkan? Aku akan jadi hipokrit. Mengiyakan? Mungkin aku akan membuat Abang Kamal lebih terluka. Memang sukar untuk aku lupuskan kebencian itu dari hati ini. Terlalu sukar.
"Abang faham kalau Tiha masih bencikan abang. Cuma, abang harap, satu hari nanti akan ada peluang untuk abang buktikan pada Tiha, abang tidak seburuk itu,"
Aku cuma memandang terus ke hadapan. Menyaksikan kegelapan malam. Abang Kamal mengangkat punggung. Aku berpaling.
"Abang nak ke mana?,"spontan soalan itu meluncur dari bibir. Abang Kamal tersenyum. Dan entah kenapa, hatiku terbuka untuk membalas senyuman itu. Buat kali pertama semenjak Abang Kamal pulang, aku melihat senyuman Abang Kamal seikhlas ini. Setulus ini.
"Baliklah. Abang kena balik Shah Alam malam ni juga. Esok pagi abang kerja,"
"Abang balik semata-mata nak jelaskan semua ni pada saya?,"
Abang Kamal mengangguk perlahan. Tiba-tiba hati aku disapa rasa terharu. Terselit juga sedikit rasa bersalah kerana menuduh Abang Kamal yang bukan-bukan.
"Sudahlah. Jangan menangis lagi. Mak dan ayah abang pun dah tahu ceritanya. Mereka tak akan desak Tiha,"
Aku tersenyum. Abang Kamal turut tersenyum.
"Tengok. Mata pun dah bengkak. Orang nak jelaskan tak nak dengar," ujar Abang Kamal separuh bergurau. Aku tergelak kecil. Malu pun ada mendengar kata-kata Abang Kamal.
"Thanks,"
"Untuk apa?,"soalku pendek. Hairan dengan ucapan terima kasih yang tiba-tiba itu.
"Sudi kongsi gelak itu dengan abang. I miss it so much,"
Aku terdiam lagi. Sudah terubatkah kebencianku sekian lama? Sudah hilangkah dendamku sekian lama? Aku buntu dalam mencari jawapannya. Yang pasti, perasaan benciku tidak lagi membuak-buak seperti sebelumnya. Bila aku mengangkat muka, mata Abang Kamal masih terlekat di wajahku.
"Abang harap satu hari nanti Tiha tak akan menangis kalau abang cakap mak dan ayah abang nak datang merisik,"
"Abang..," kata-kataku terhenti di situ. Perlahan aku mengambil nafas sedalam mungkin.
"Abang jangan mengharap pada benda yang tak akan jadi,"akhirnya aku suarakan sekali lagi pendirianku.
"Takkan langsung tak ada peluang untuk abang? Kenapa? Tiha sudah ada pilihan hati ke?,"
Pilihan hati? Betul ke aku sudah ada pilihan hati? Siapa? Charming? Lelaki itu baru sahaja mengguris perasaanku. Encik Firdaus? Dia sudah ada si cantik manis bernama Mia. Johan? Dia sudah pun bertunang. Jadi, sebenarnya aku tidak punya sesiapa pun.
"Bukan macam tu..,"
"Kalau bukan, biarlah abang terus mencuba,"
"Abang janganlah seksa perasaan abang sendiri,"
Abang Kamal tersenyum kecil.
"Oklah. Abang balik dulu. Kirim salam kat Mak Su," Abang Kamal meminta diri. Aku mengangguk perlahan. Beberapa langkah dia meninggalkan aku, aku memanggilnya. Abang Kamal menoleh.
"Terima kasih bang,"
Sekali lagi lelaki itu tersenyum.
"Abang tak akan buat Tiha sedih lagi. Abang tak akan buat Tiha menangis lagi. Tapi, abang akan terus cuba memenangi hati Tiha,"
Aku tersenyum kecil mendengar kata-kata itu. Benar kata Sharifah. Abang Kamal sudah banyak berubah. Aku mengeluh perlahan sampai mencapai telefon bimbitku. Ingin aktifkan semula nada dering yang aku bisukan sejak dari pagi tadi. Malas mendengar deringan yang bertalu daripada Charming. Bibirku mengukir senyum. Dua puluh panggilan tidak berjawab dari Charming. Padan muka. Bila orang berterus terang, dia jual mahal pula. Rasakanlah. Aku tersenyum lagi. Tunduk apabila terasa ada sesuatu melingkar di kakiku.
"Atok.. Rindu kat akak ya?,"aku mendukung Atok sambil mengangkat punggung. Mencium muka kucing kesayangku yang comel itu.
"Jom kita masuk tidurlah. Nanti Charming kacau akak lagi,"
Atok mengingau mendengar bicaraku. Aku pula tersenyum lagi. Suka hati sesekali membuat Charming begitu.

No comments:

Post a Comment