Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 22 (chapter 16)

Chapter 16
Aku mencuba sekali lagi. Tetap juga gagal. Di mana dia? Tiga hari aku di sini, menunggu panggilannya, tetapi dia langsung tidak menghubungiku. Sudahnya aku memberanikan diri serta membuang malu di hati. Cuba mendail nombor telefonnya. Tetapi tidak berangkat pula. Kecewanya aku. Sudah lupakah dia padaku? Janganlah begitu Charming. Atau, dia dapat rasakan yang hati aku mula terusik pada lelaki lain? Ish! Tidak mungkin.
"Diya! Buat apa tu? Sempat termenung ke? Cepatlah bersiap," Sharifah bersuara. Aku bersandar ke kerusi yang empuk. Tuala yang aku balut di kepala aku tanggalkan perlahan. Mengesat rambut yang basah dengan lemah.
"Kenapa dia tak jawab call aku ya?,"soalku pada yang Sharifah yang sedang menghadap cermin.
"Siapa?," dia pula mengajukan soalan padaku tanpa menoleh. Khusyuk sangat menampal eye shadow dan blusher di wajahnya. Aku bergerak perlahan ke katil. Berbaring sambil menatap siling.
"Dah jadi cicak pula. Terkebil-kebil kat situ buat apa? Cepatlah Diya,"
"Aku rindu kat Charming lah. Rindu sangat ni. Dah lama tak dengar suara dia. Sherry tolonglah aku. Kenapa aku rasa macam ni? Tak sukalah,"aku meluahkan rasa resah yang menyeksa jiwa pada Sharifah. Sharifah tergelak halus.
"Alah. Biasalah tu. Itu namanya tengah mabuk cinta. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Makan tak kenyang. Asyik teringat saja,"
"Aku seriuslah Sherry. Tak ada mood nak buat apa-apa pun ni. Aku nak dengar suara dia je. Kenapa dia buat macam ni? Dia dah lupakan aku ke? Atau.. dia memang nak permainkan aku saja tak?,"
Sharifah berpaling. Mascara di tangannya di letakkan di atas meja solek. Memandang wajahku yang keresahan.
"Kau tanya soalan yang jawapannya tidak ada pada aku. Manalah aku tahu. Dia sibuk kot,"
"Sherry! Sekarang ni, holiday tahu tak? Nak sibuk apanya?,"
"Ha ah lah. Ya tak ya juga. Entahlah. Aku pun tak tahulah,"
Aku berfikir-fikir seketika sebelum imbasan negatif melekat di kepala tiba-tiba.
"Kalau sibuk pun, mesti dia sibuk dengan anak isteri dia. Entah-entah dia tipu aku. Cakap belum kahwin. Lelaki sekarang kan suka tipu status mereka. Sherry.. Aku takutlah,"
"Ish. Tak adalah. Aku tak fikir Charming tu dah kahwin. Dia ada hal kot. Yalah. Tak semua orang tak sibuk bila cuti. Kau ni, fikir yang bukan-bukan sangat. Janganlah pesimis sangat. Hidup mesti optimis. Faham?,"
"Nak optimis macam mana? Dah gundah gulana hati aku ni. Tak naklah aku pergi dinner tu. Aku nak cuba call Charming lagi and nak tunggu kalau-kalau dia call aku nanti,"aku membuat satu keputusan nekad. Kalau aku pergi pun, pasti tidak seronok.
"Jangan nak mengada. Kau kena pergi. Janganlah macam ni. Ni kan malam last kita. Tadi kau cakap dengan Joe kau nak pergi. Pergilah. Cepat bersiap,"
Aku mengeluh lemah.
"Tak ada moodlah Sherry. Aku nak duduk dalam bilik je. Layan perasaan,"
"Jangan nak mengada,"
Aku diam sambil menatap siling. Deringan telefonku, menarik perhatian. Sepantas kilat aku mencapai telefon yang memang aku letak di sebelah. Melihat nama yang tertera pada screen, senyum melebar di bibir.
"Charming,"jeritku girang. Lega. Hilang segala prasangka. Sharifah tersenyum sambil menggeleng perlahan. Dia berpaling menghadap cermin semula.
"Hello,"sapaku dengan perasaan yang bercampur baur. Debar, suka, marah dan merajuk semuanya bercampur menjadi satu. Dan yang paling ketara ialah rindu. Rindu yang cukup menyeksa jiwa.
"Hello. And, Assalamualaikum,"
Aku tersenyum. Mengiringkan badan membelakangi Sharifah.
"Waalaikumussalam. Awak sihat?,"soalku dengan nada yang penuh dengan kerinduan. Bukan di buat-buat. Tetapi, aku memang rindukan Charming. Tersangat rindu.
"Awak? Sweet. I suka you panggil I macam tu. Awak..,"Charming mengajuk percakapanku sebentar tadi.
Aku tersipu seorang diri. Tersalul pula. Biasanya aku cuma ber’I’ dan ‘you’ sahaja dengan Charming. Terikut-ikut cara perbualan kami di Yahoo Mesenger.
"Tercakap. Sorrylah. You sihat?,"soalku sekali lagi.
"Tak apa. Saya suka awak panggil saya macam tu,"
Kata-kata Charming membuat aku terasa kekok pula. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
"Sorry. Bukan tak nak jawab call awak. Saya dalam bilik air,"Charming bersuara dengan nada sedikit serius.
Aku tersenyum.
"Tak apa. Saya tak kisah,"ujarku riang. Tidak kisah? Yalah tu tidak kisah. Padahal tadi, hampir-hampir meletup hati ini.
"Yalah tu tak kisah.. Orang kat sini dah nak menangis rindu kat awak Charming oii..," Seperti biasa, Sharifah menyampuk sambil meninggikan suaranya. Memalukan aku, dan menaikkan amarah aku. Aku mencapai kusyen kecil lalu aku baling ke arahnya. Tepat terkena tangannya yang sedang mengenakan gincu di bibir. Hah! Ambil kau. Habis sampai ke pipi gincunya.
"Oiiii! Diya!," jerit Sharifah marah. Aku tergelak besar. Padan muka.
"Habis make up aku…," Sharifah merengek marah.
"Diya? Nama awak ya?,"suara Charming melekat di telinga. Membuat aku terdiam.
"Kawan,"bohongku spontan. Kenapa aku berbohong? Entahlah. Aku sendiri pun tidak tahu.
"Ohh.. Nama awak? Masih rahsia lagi ke?,"
Aku tergelak halus.
"Kalau dah gelak macam tu, dah tahu maksudnya. Saya pun tak akan paksa. Let time tells everything. Cuma, betul ke awak rindukan saya?,"
Soalan itu sekali lagi membuat lidahku menjadi keras. Tidak boleh menjawab. Cuma wajahku terasa membahang tiba-tiba. Nasib baik Charming tiada di depanku saat ini. Kalau tidak, mahu berasap muka ini.
"Hello…,"
Aku diam.
"Saya pun rindu sangat kat awak. Nak dengar suara awak. Nak jumpa sangat-sangat. Itu pun kalau bolehlah. Tapi, saya tahu, mesti tak boleh. Kan?,"Charming menyambung bicaranya. Aku batuk kecil. Periksa suara yang aku rasakan hilang tiba-tiba. Ada lagi. Tetapi, kenapa aku tidak boleh bersuara? Terasa suara tersekat di kerongkong.
"I miss you , sayang. Really miss you,"
Aduh! Kata-katanya memang membuat aku jadi bertambah kelu. Macam mana aku tidak rindu padanya? Bagaimana aku tidak terpikat padanya? Bicaranya itu yang telah membuat aku jatuh hati. Menjadi tali yang mengikat hubungan kami.
"Kenapa diam?,"
Aku cuma mampu tergelak malu.
"Tak tahu nak cakap apa,"jawabku perlahan.
"Kelu ya? Kalaulah saya boleh berada depan awak sekarang. Tengok wajah awak..,"
Kini, aku tergelak kaku. Sekaku wajahku menanggapi bicaranya.
"Hmm.. Tak tahu nak cakap, dengar saja saya cakap,"
"Awak. Can I ask you something?,"aku bersuara tiba-tiba.
"All my pleasure. Apa dia dear?,"soal Charming bersama gelak romantisnya yang memang sentiasa aku rindui.
"Awak tak rasa macam bosan ke, berkawan dengan saya setakat macam ni saja?,"
"Kenapa? Awak dah bosan ke? Baguslah tu. Kalau dah bosan macam ni, kita jumpa sajalah,"
"Tak adalah. Maksud saya, orang lelaki ni, mana suka berkawan macam ni,"
"Saya tak kisah. Kan saya dah cakap, saya sanggup tunggu sampai bila-bila," serius suara Charming di telingaku. Aku diam.
"Cepatlah bersiap. Nanti terlambat," Sharifah bersuara tiba-tiba. Cukup dekat di telingaku. Aku sedikit tersentak.
"Awak ada hal ke?,"soal Charming. Mesti dia terdengar kata-kata Sharifah.
"Ada dinner. Tapi, macam malas nak pergi. Dinner dengan rakan-rakan tempat kerja,"
"Hmm.. Pergilah. Kenapa malas pula? Enjoy yourself. I’ll call you back. Promise,"
Aku sedikit keberatan untuk mengakhiri perbualan ini.
"Pergi ya,"Charming bersuara lagi.
"Ok. Betul awak nak call balik?,"
"Ya, sayang. Nanti saya call balik. Rindu ya?,"
Aku tersenyum.
"Ok. Bye,"ujarku sambil jariku cepat-cepat mematikan talian. Tidak mahu menjawab soalan Charming. Telefon aku letak ke katil sambil tersenyum senang. Hilang sedikit rindu yang menghimpit jiwa.
"Cukuplah senyum tu. Dah puas hati sekarang?," Sharifah bersuara sambil mencapai menyikat rambutnya. Perlahan dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aku tersenyum lagi.
"Agak-agak bila aku boleh jumpa dia ya?,"soalku sambil memandang wajah Sharifah. Sharifah tersenyum.
"Ayat apa yang Charming tu guna, sampai hati kau dah nak cair ni?,"
"Entah. Aku rasa dia jujurlah,"
"Tadi kata penipu. Sekarang jujur pulak? Ni, esok lusa kalau dia tak call, jadi penipu balik ya?,"
Aku tersengih. Mungkin kot.
"Baguslah kalau kau nak jumpa dia. Memang dah lama aku cadangkan pun. Sekarang, cepat bersiap. Kau tu, satu apa pun tak siap lagi,"
"Ok," ujarku girang.
"Tapi, aku nak pakai apa ni?,"sambungku sambil memikirkan baju apa yang hendak dipakai.
"Pakailah apa-apa pun. Jom, aku solekkan kau. Nak?,"
"Boleh. No problem,"
Dengan sepantas kilat Sharifah bergerak ke meja solek. Mengambil beg yang penuh dengan alat-alatan untuk membaiki wajah. Laju saja tangannya menyapu entah apa krim ke wajahku. Aku pula tegak mematung. Seronok bila ada orang membelai wajah. Buatlah apa saja, Sharifah. Aku tahu Sharifah pandai mengandam orang.
"Aku nak kau nampak cantik sangat malam ni. Biar jatuh biji mata Encik Firdaus nanti,"
"Eh, kau ni. Tiba-tiba cakap pasal Encik Firdaus ni, kenapa? Tak ada masanya dia nak tengok akulah. Kekasih dia sepuluh kali lagi cantik dari aku. Apa yang dia nak hairan?,"
Sharifah tersenyum.
"Aku nak tanya sikit ni,"mulut Sharifah berbunyi lagi.
"Apa dia?,"
"Pejam mata. Aku nak sapu eye shadow ni,"
Aku akur.
"Ni, kenapa kau tiba-tiba lepaskan Encik Firdaus tadi? Kita orang tengok kau berdua dari jauh. Dah elok-elok kau papah dia, kemudian tiba-tiba lepas, kenapa? Siap cekak pinggang pula tu,"
"Itu ke yang kau nak tanya? Tak ada soalan lain ke?,"
"Jawab jelah,"
"Aku marah. Hangin satu badan tahu tak?,"
"Kenapa?,"
"Penat aku papah dia sikit punya jauh. Dia cakap tak ada telefon nak call minta bantuan. Tup..tup dah dekat nak sampai, handphone dia berbunyi kat dalam poket. Mahu aku tak marah?,"
"Marah sampai dua-dua tergolek masuk dalam lopak? Romantik betul,"sakat Sharifah
"Mengadalah kau, jangan cakap banyaklah. Make up aku and tutup mulut tu,"
"Aku sukalah tengok Encik Firdaus tu. Sporting juga ya. Kalau kat office tu, serius saja mukanya. Tak sangka pula rupa-rupanya kat luar, dia tu kelakar juga," mulut Sharifah terus menceceh.
"Kalau aku pakai skirt labuh tu, ok tak?,"soalku, melencong jauh daripada topik perbualan Sharifah.
"Dia pakai kasual macam tu, lagilah. Nampak handsome pulak tu . Hmm. Boleh jadi Mr Perfectlah Encik Firdaus tu. Handsome..kaya..baik..caring..tegas..kelakar..roma ntik pun ada juga sikit aku tengok. Kau tak nak ke?,"
"Tapi, aku nak pakai dengan baju apa ya?,"
"Aku boleh bayangkan kalau kau berdua jadi couple, macam serasi pun ada. Macam cute,"
"Sherry. Aku tanya pasal bajulah. Aku nak pakai baju mana?,"soalku geram. Aku sibuk bercakap tentang baju yang hendak dipakai, dia pula sibuk bercakap tentang Encik Firdaus. Sharifah tergelak.
"Kau pakai saja gaun aku tu yang warna hitam tu. Labuh juga gaun tu. Bolehlah tutup kaki kau yang berbalut tu. Designnya pun simple je. Aku rasa sesuai dengan kau,"
"Kau? Kau nak pakai pula?,"
"Aku dah ada baju lain. Aku kan suka melaram. Banyak koleksi. Tak macam kau tu. Kedekut,"
"Mana aku kedekut?,"gumamku sedikit marah. Suka hati panggil aku kedekut.
Sharifah tersengih.
"Dongak sikit. Aku nak pakaikan mascara ni,"
"Jangan make up tebal sangat tau. Nanti aku tak selesa,"
"Alaaa.. Tahulah aku. Kau cuma tadah muka saja. Yang lain, biar aku yang uruskan. Malam ni, aku akan pastikan kau akan jadi different Adiya Fatiha,"
"Jangan sampai jadi badut, sudah,"
"Shut up,"Sharifah bersuara sambil menepuk perlahan bibirku.
"Ok,"jawabku sepatah. Dan selepas itu aku terus diam. Tidak mahu kena lempang lagi. Membiarkah Sharifah menjalankan tugasnya. Tugas kegemarannya. Menjadi mak andam.

No comments:

Post a Comment