Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 25

Chapter 19
"Sebenarnya apa yang kita buat kat sini ni?,"soalku sambil memandang wajah Sharifah. Sharifah membentangkan tikar di atas rumput. Entah apa mimpi perempuan ni, tiba-tiba hendak berkelah tepi tasik pula dia.
"Tunggu jelah. Aku cuma ikut arahan Azman saja. Aku pun tak tahu apa sebabnya. Kau sabar jelah,"
Aku bersandar pada pokok. Melihat Sharifah menyusun bakul dan pinggan.
"Hai.. Senang nampak. Tak rasa ke nak tolong makwe aku tu? Kesian dia buat kerja sorang-sorang," suara Azman menegur dari belakang. Aku menoleh. Azman datang bersama dua beg plastic berisi KFC dan Pizza Hut.
"Aku saja nak tolong kaulah. Bagi Sherry ni practice buat kerja rumah. Nanti dah kahwin, kau juga yang senang," balasku sambil bersila di atas tikar. Sharifah mencebik mendengar kata-kataku, sementara Azman pula tersenyum sambil menunjukkan ibu jarinya sebagai isyarat bagus.
"Bukan main banyak lagi. Boleh habis ke ni?,"soalku sambil membelek plastik yang berisi pelbagai jenis makanan.
"Boleh.. Kan kau kuat makan,"sampuk Azman tersengih. Aku jegilkan mata. Suka-suka saja mengutuk aku.
"Cakaplah. Apa mimpi kau berdua ni? Tiba-tiba pula nak berkelah kat sini?,"
Sharifah turut bersila di sebelahku.
"Entah. Tanyalah Azman. Kan aku dah cakap tadi, aku cuma ikut saja. Ini semua rancangan dia,"
Aku pandang wajah Azman. Pelik benar bunyinya kata-kata Sharifah ni. Azman tersengih.
"Janganlah pandang macam tu. Rilekslah. Sebenarnya ini semua pun bukan rancangan aku. Aku cuma mengikut arahan saja. Arahan rahsia,"
"Dah nak buat suspen pulak. Cakap jelah. Tak suka betul aku orang buat suspen kat aku,"aku bersuara dengan nada sedikit kurang sabar.
"Arahan siapa?,"soalku sekali lagi apabila Azman leka menolong Sharifah.
"Tuu..," panjang muncung Azman menunjuk ke satu arah. Aku berpaling. Abang Kamal?! Apa ini semua ?
"Apa ni Sherry? Aku nak baliklah,"aku bersuara dengan nada geram.
"Aku tak tahu. Aku betul-betul tak tahu apa-apa,"
"Kenapa pula?,"soal Azman hairan
"Aku tak sukalah. Apa benda yang dia cuba nak buat ni?,"soalku geram sambil mata tajam memandang ke arah Abang Kamal yang sedang merapikan rambutnya melalui cermin motor besarnya itu. Tidak sangka Abang Kamal boleh menggunakan Azman untuk bertemu denganku.
"Aku nak baliklah."sekali lagi aku bersuara sambil mengangkat punggung. Tangan Sharifah yang memegangku, membuat aku terduduk semula.
"Kau ni. Tak baiklah. Tunggulah dulu. Dengar apa sebenarnya yang dia nak. Kenapa dia buat semua ni. Ada ke nak balik macam tu je,"
Aku menarik muncung. Marah betul dengan Azman. Tapi, bukan salah Azman sebenarnya. Azman tidak tahu cerita pun. Yang dia tahu, Abang Kamal adalah sepupuku.
"Assalamualaikum. Sorry, lambat. Ada hal sikit tadi," suara Abang Kamal menyapa dari belakang.
"Waalaikumussalam,"ramah Sharifah dan Azman menjawab. Aku cuma menjawab di dalam hati.
"Hai, Doktor. Apa khabar?," sapa Sharifah sambil tersengih. Abang Kamal tersenyum.
"Baik,"
"Kenapa Abang ajak kami semua ke sini ni?,"soal Sharifah lagi.
Abang Kamal memandang wajahku. Aku buat-buat sibuk membelek majalah di tangan. Malas hendak berbalas pandang dengan lelaki itu.
"Man? Mana keknya?,"
"Oh. Lupa. Sekejap," Azman berlari menuju ke keretanya. Kek? Kek apa pula? Akhirnya aku pandang juga wajah Abang Kamal. Kek apa yang Abang Kamal maksudkan?
"Kek apa?,"soalku hairan. Abang Kamal tersenyum. Sharifah turut tersenyum. Untuk apa senyumannya itu, aku pun tak tahu.
"Happy birthday to you..Happy birthday to you.. Happy birthday to Adiya. Happy birthday to you,"Azman menyanyi-nyanyi lagu selamat hari lahir sambil membawa kek bersamanya. Aku tergamam. Abang Kamal menyambut hari lahir aku? Tidak tersentuh langsung. Dia ni dah nyanyuk ke? Hari lahir aku belum pun tiba lagi.
"Hai, betul ke abang ingat birthday saya ni? Kalau lupa nak sambut buat apa? Apa hal nak sambut birthday saya hari ni pula? Birthday saya bukan hari ni," ujarku sambil melirik pada kek yang Azman letak di atas meja kecil. Cantik. Dan, yang lebih penting, sedapnya. Kek coklat kegemaran aku tu. Tergugat jual mahal aku ni. Memang Abang Kamal tahu aku suka kek coklat. Pandai dia mencari kelemahan aku.
"Abang tahu birthday Tiha lagi tiga hari. Tapi, mungkin hari tu, abang sibuk. Tak ada masa nak sambut. So, Tiha tak kisah kan kalau kita celebrate in advance,"
Abang Kamal ingat rupanya. Mestilah Abang Kamal ingat. Mana pernah lelaki itu lupa hari lahir aku. Selama dia berada di luar negara pun, saban tahun aku pasti akan mendapat bungkusan hadiah daripada Abang Kamal. Cuma, bungkusan itu tidak pernah aku buka. Ada enam bungkusan yang elok tersimpan di bilikku. Tidak pernah ku buka.
"Wah.. Seronoknya. Surprise party rupanya. Cepatlah Diya. Tiup lilin," Sharifah bersuara girang.
Aku pandang wajah Abang Kamal yang tenang. Benar-benar tidak faham dengan sikap Abang Kamal. Semakin keras aku menolak, semakin kuat pula usaha Abang Kamal untuk mendekatiku. Sangkaku dia sudah mengalah. Ternyata aku silap. Aku memandang pula ke arah Azman yang sedang menyalakan lilin kecil di atas kek.
"Come. Tiha. Tiup lilin,"
Perlahan aku bergerak mendekati meja kecil. Menghadap kek coklat yang hampir cair krimnya itu. Tiba-tiba terselit rasa terharu di hati. Tidak. Aku tidak akan lembut hati dengan Abang Kamal. Walaupun, tidak dapat aku nafikan aku tersentuh dengan usaha Abang Kamal. Aku sedikit tersentuh dengan perhatian yang Abang Kamla pamerkan.
"Ok. Mula ya. Kita nyanyi sama-sama,"
Aku senyum kecil. Mendengar tiga suara itu berpadu menyanyikan lagu selamat hari lahir. Sebaik selesai mereka menyanyi, perlahan aku meniup lilin, di sambut tepukan kecil.
"Selamat menyambut hari lahir in advance Diya,"ucap Sharifah sambil mencium pipiku. Aku tersenyum. Ucapan yang sama aku terima dari Azman.
"Selamat menyambut hari lahir yang ke dua puluh enam, Tiha,"Abang Kamal pula bersuara sambil menghulurkan satu kotak kecil. Aku kaku seketika. Haruskah aku menerima pemberian ini? Sharifah menyentuh bahuku perlahan. Memberi isyarat agar aku menerima hadiah yang Abang Kamal hulurkan. Aku menyambut kotak yang diberi. Dan sekuntum senyuman kegembiraan menghiasi bibir Abang Kamal. Cukup berseri senyuman yang Abang Kamal berikan. Aku membalas senyuman itu dengan sekuntum senyuman yang tidak begitu sempurna.
"Terima kasih,"ucapku pendek. Kotak itu aku letakkan ke tepi.
"It’s okay. Perkara kecil. Terima kasih sebab sudi raikan birthday dengan abang. Walaupun terpaksa buat secara senyap-senyap,"
Aku tersenyum kelat.
"Hai.. melamun ke?,"
Aku tersentak. Peristiwa petang tadi, hilang tiba-tiba. Sharifah tersengih di hadapanku. Aku menarik kusyen kecil ke pelukan. Mata aku alihkan ke kaca televisyen.
"Dari petang tadi, aku tengok kau diam je. Kau tak apa-apa? Kau fikir pasal Abang Kamal?," soal Sharifah sambil meneguk milo panas yang di bawanya.
"Aku ok. Kau buat satu je ke?,"
"Apa? Milo? Ha ah. Satu je. Kau tak cakap kau nak,"
Aku mengeluh perlahan sambil mencapai mug di tangan Sharifah. Meneguk perlahan milo panas. Hmm.. leganya. Sharifah terkebil-kebil memandangku.
"Amboi senangnya kerja ya?,"
Aku tersengih. Mug di tangan ku serahkan semula kepada Sharifah. Sharifah menyambut dan meletakkan mug tersebut di atas meja.
"Kau dah buka hadiah Abang Kamal?,"
Aku menggeleng. Masih elok aku simpan di dalam almari bersama enam bungkusan yang lain.
"Kau tak nak buka ke?,"
"Buat apa?,"soalku acuh tidak acuh. Memang aku tidak pernah mengharapkan sebarang hadiah daripada Abang Kamal. Juga tidak ada keinginan untuk mengetahui apa yang Abang Kamal berikan padaku.
"Kau ni. Tak baik buat macam tu. Orang dah bagi, kita kena terima dengan ikhlas. Takkan kau nak simpan koleksi hadiah Abang Kamal sampai kau tua. Pergilah buka. Aku nak tengok,"
"Kau nak tengok, kau pergilah buka,"
"Kau ni. Takkan aku pula yang nak buka. Kalau dia bagi bom kan, aku yang bersepai dulu. Tak naklah aku. Kau jelah yang buka,"
Aku tergelak mendengar imaginasi Sharifah. Tidak masuk akal langsung. Tetapi, apabila difikirkan, betul juga kata-kata Sharifah. Sampai bila aku hendak simpan hadiah yang masih elok berbungkus itu. Tiba-tiba timbul perasaan ingin tahu kandungan di dalam setiap bungkusan dari Abang Kamal. Sharifah ni, memang pandai menghasut.
"Kau nak tengok ke?,"soalku memandang wajah Sharifah.
"Memanglah aku nak tengok. Tapi, kalau kau nak suruh aku buka, tak naklah aku. Itu kan hadiah kau,"
"Ok. Jom. Kita buka semua hadiah yang Abang Kamal bagi kat aku,"
"Hah? Serius? Nak. Nak. Seronok ni,"
"Jom," ajakku sambil menarik tangan Sharifah menuju ke bilikku. Aku bergerak ke almari. Membuka laci bawah. Satu kotak yang agak besar, aku keluarkan.
"Mak oi. Sampai satu kotak,"tegur Sharifah dengan riak wajah yang seronok.
Aku meletakkan kotak di atas katil, kemudian mengeluarkan satu demi satu hadiah daripada Abang Kamal.
"Nak mulakan dari yang mana ya?,"
"Yang first kau terima sampailah yang last,"
"Ok,"ujarku sambil menyusun kotak mengikut tahun yang aku tulis sendiri. Dalam tidak mahu membuka, aku masih sempat mencatat tahun kiriman hadiah-hadiah tersebut.
"Ada lagi satulah. Yang first. Kejap," aku berlalu ke almari sekali lagi. Mencari satu kotak yang agak besar.
"Ni, yang pertama," aku bersuara sambil mengoyakkan kertas pembalut. Cantiknya! Teddy bear putih hadiah untuk hari ulangtahun kelahiranku yang ke dua puluh.
"Cantiknya..,"cepat tangan Sharifah mencapai dan memeluk teddy bear yang cukup lembut itu. Aku senyum.
"Bukalah lagi,"
Aku akur. Satu persatu aku buka. Dan, aku terpaku dengan setiap isinya. Semuanya benda yang aku suka. Jam tangan Mickey Mouse yang comel untuk ulangtahun kelahiran ke dua puluh satu. Patung Garfield yang memang aku cukup suka untuk hari jadi yang seterusnya. Skaf sutera berwarna jingga, kotak muzik kristal yang amat cantik dan sepasang anting-anting berlian.
"Wah! Diya.. Semuanya best-best,"
Aku terduduk di katil. Abang Kamal tahu setiap apa yang aku suka.
"Dia tahu apa yang aku suka,"bisikku hampir tidak percaya.
"He’s your cousin. Lagipun sebelum dia buat kau macam tu, dia kan rapat dengan kau,"
"Kenapa dia buat ini semua?,"
Sharifah senyum. Tidak menjawab soalanku itu.
"Yang dia bagi tadi? Bukalah,"
Aku mengangguk sambil tanganku membuka perlahan balutan kecil yang Abang Kamal berikan tadi. Mataku bulat memandang kotak berwarna merah yang baru aku buka.
"Cantiknya!,"jerit Sharifah sambil menempel padaku. Memandang set platinium yang tersusun elok di dalam kotak.
"Rantai.. subang.. gelang.. Diya! Bertuahnya kau. Cantiknya. Mesti mahal ni,"
Kotak merah itu aku letak di atas katil.
"Aku tak boleh terimalah ini semua,"
Sharifah ternganga.
"Apa kau nak buat? Takkan kau nak bagi balik pada Abang Kamal,"
"Aku kena bagi pada dia balik. Aku tak layak mendapat hadiah mahal macam ni,"
"Nanti dia mesti tersinggung Diya,"
"Tapi, kalau aku terima.. Tak bolehlah Sherry. Aku tak suka Abang Kamal. Aku tak boleh terima benda ni semua. Nanti lain cerita yang timbul,"
"Aku yakin Abang Kamal ikhlas. Lagipun aku tengok dia dah banyak berubah. Dah banyak bersabar dengan kerenah kau. Tadi pun, apa yang kau cakap, dia cool je. Kau asyik sindir dia pun, dia tak ada nak melenting. Kalau dulu, mesti dia dah angin satu badan,"
"Yelah. Dia dah tahu dia salah. Itu sebabnya cool,"
"Dia betul-betul cintakan kau Diya. Manusia yang sanggup berubah demi orang yang dia sayang, maknanya cinta dia pada orang tu memang amat dalam,"
"Tolong sikit. Aku sikit pun tak ada perasaan kat dia. Dulu memang aku sayang dia. Aku anggap dia macam abang aku. Sebab aku anak tunggal. Tak ada abang. Tak ada kakak. Tak ada adik. Tapi, bila dia dah buat aku macam tu, aku tak akan maafkan dia sampai bila-bila,"
"Tak baik berdendam. Dia pun ada cakap dia dah menyesal kan?,"
"Menyesal? Mungkin dia sudah menyesal. Mungkin dia sudah berubah sebab aku. Sebab cintanya pada aku. Kononnya. Tapi, satu hari nanti, apabila cinta tu dah pudar, dia akan jadi Abang Kamal yang dulu semula. Sudahlah aku tak nak cakap pasal Abang Kamal lagi. Hadiah ni, nanti aku akan pulangkan pada dia,"
"Janganlah macam tu. Kalau nak nak pulangkan pun, biarlah aku pinjam sekali. Cantik ni..,"
Aku pandang wajah Sharifah. Sempat pula dia berlawak. Sharifah tersengih sambil membelek rantai platinium yang bertatahkan berlian itu. Memang cantik. Dan aku tahu, harganya pasti mahal. Benda semahal dan seistimewa itu hanya untuk insan yang istimewa. Dan, aku bukanlah orang itu. Aku tidak mahu dianggap mengambil kesempatan pula. Terasa kejam apabila menerima sesuatu yang begitu berharga daripada orang yang tidak pernah ada di hatiku. Sedangkan Abang Kamal begitu mengharapkan ada tempat untuknya di hati ini. Maafkan Tiha Abang Kamal. Tidak mungkin ada cinta di hati ini untuk Abang Kamal. Dan hadiah semahal ini mungkin milik gadis lain. Bukan milik Tiha.

No comments:

Post a Comment