Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 18

FUH! Penatnya,” Sharifah
bersuara sambil terus
terbaring di atas katil.
Aku turut tersandar ke kerusi. Beg pakaian yang
sederhana besar kubiarkan saja di tepi dinding. Memang
penat. Berjam-jam di dalam bas, memang membuat
badanku hilang tenaga. Yang kunampak cuma katil dan
bantal. Tapi, tak boleh dulu. Aku kena telefon mak dulu.
Beritahu dia aku dah sampai. Nanti risau pula orang tua tu.
“Kau tak penat ke, Diya?”
“Mahunya tak. Penatlah. Tapi, aku nak buat call
kejap.”
“Call siapa? Buat laporan kat Charming ke? Ini dah
serius ni, sampai kena buat report ni. Berapa kali sehari kau
kena report kat dia pasal aktiviti kau?” soal Sharifah sambil
tersengih.
“Tak adalah. Bukan call dia. Call mak akulah.
Beritahu aku dah sampai. Sebelum dia telefon and berleter
panjang, baik aku dulu yang telefon.”

Sharifah mengangguk perlahan.
“Aku pun nak call mak akulah. Nak beritahu aku
dah sampai.” Dia bersuara sambil mencapai telefon bimbit
yang tidak pernah berenggang dari tangannya sejak dari mula
menaiki bas hinggalah bas selamat berhenti di terminal
untuk mengambil bot ke Pulau Redang.
Aku tersenyum. Perlahan bangkit dari kerusi
mencapai beg tangan di atas beg pakaianku. Menyelongkar
mencari telefon bimbit. Telefon bimbit kukeluarkan sambil
beg tangan kucampak ke katil.
“Aku keluar kejap,” ujarku sambil melangkah
keluar dari calet. Mengambil angin di beranda. Nyamannya.
Perlahan tangan mendail nombor telefon rumahku. Deringan
yang bertalu, membuat aku tersandar di beranda. Mana mak
ni? Lambatnya angkat telefon.
“Assalamualaikum…” Aku bersuara sebaik sahaja
telefon berangkat.
“Waalaikumussalam.”
Aik! Macam kenal je suara ni. Mana mak? Kenapa
lelaki pula yang angkat ni? Aku mula diburu seribu
pertanyaan.
“Tiha ya?”
Alamak! Abang Kamal. Apa Abang Kamal buat kat
rumah mak aku ni? Kacau betullah!
“Tiha?”
“Mak ada?”
“Ada. Kat dapur. Nak cakap dengan dia ke?”
Ek eleh. Memanglah nak cakap dengan mak aku.
Sebab tu la aku telefon rumah aku. Apalah Abang Kamal ni.
Takkan nak cakap dengan dia pulak!

“Panggil mak kejap,” ujarku dingin. Aku terdengar
Abang Kamal mengeluh perlahan.
“Mak su, Tiha telefon ni. Cepat sikit! Nanti merajuk
pula anak dara mak su ni.”
Terdengar suara Abang Kamal memanggil ibuku.
Saja nak bagi aku dengar suara dialah tu.
“Mak su kata tunggu kejap.”
“Tak apalah… nanti saya telefon mak balik.”
“Eh, tunggulah dulu. Cakap dengan abang dulu.
Ingat Tiha balik kampung.”
“Tak ada,” jawabku pendek.
“Mak su kata Tiha pergi Pulau Redang. Buat apa kat
sana?”
“Ada hari mesra staf. Tiga hari kat sini.”
“Hmmm… ingat abang balik, boleh jumpa Tiha.
Susahnya nak jumpa Tiha. Sunguh-sungguh Tiha nak
mengelak daripada abang ya?”
“Mana tahu abang balik kampung. Lagipun, kita tak
berjanji, kan?” Bohongku dengan cukup lancar sekali.
Padahal hari tu, ibuku sudah beritahu Abang Kamal akan
balik kampung.
“Memanglah tak berjanji. Tapi, ingat ada rezeki
abang nak jumpa Tiha. Kalau berjanji memang tahu, Tiha
tak akan sudi. So, terpaksalah buat-buat macam kebetulan.
Rupa-rupanya buat macam tu pun, tak boleh jumpa juga,”
Abang Kamal bersuara dengan nada selamba.
Aku tersenyum sendiri. Kelakar pula rasanya
mendengar kata-kata Abang Kamal. Sampai macam tu sekali
ke, usaha dia nak berjumpa dengan aku?

“Berapa hari Tiha kat sana?”
“Tiga hari.”
“Banyak buat aktiviti kat sana?”
“Entah!”
“Semua staf pergi ke?”
“Haah,” jawabku separuh hati.
“Tiha baru sampai ke tu?”
“Haah.”
“Pergi dengan bas ke?”
“Haah.”
“Tiha sayang abang ke?”
“Haah.”
Ops!
Abang Kamal tergelak.
Kurang asam punya Abang Kamal. Boleh bagi
soalan psikologi pula kat aku. Dah tersasul!
“Tu la. Haah… haah lagi,” ujarnya masih bersama
gelak.
Aku diam. Tidak ada keinginan untuk gelak
bersamanya. Geram lagi, adalah.
“Cakaplah. Janganlah asyik haah… entah… ya.
Kalau pun tak suka kat abang, janganlah tunjuk sangat. Sedih
abang rasa bila Tiha buat abang macam ni,” katanya dengan
nada sedih.
“Tak ada benda nak cakaplah bang. Mak mana…
takkan tak sudah lagi buat air kat dapur?”
“Belum. Kejap lagi kut. So, bila kita boleh jumpa
ni?”

“Abang… janganlah cakap pasal ni lagi. Lupakanlah
semua tu. Abang cari ajalah perempuan lain, yang lebih baik
daripada saya. Takkan ke mananya kalau abang teruskan
juga. Saya memang tak boleh nak terima abang. Tak payahlah
kita buat masing-masing rasa serba salah, bang.”
“Abang akan terus mencuba. Terlalu lama abang
harapkan Tiha. Takkan abang nak give up macam tu aja.”
Aku diam. Geram dengan sikap Abang Kamal yang
tidak tahu mengalah. Sampai bila dia hendak terus begini?
Bukankah apa yang sedang dia lakukan ini akan membuat
dia terluka? Akan membuat aku terseksa?
“Panggil mak kejap, bang.”
“Hmmm.. yalah. Mak su dah datang ni.”
Aku menarik nafas lega. Sebenarnya aku sudah
kehilangan kata-kata untuk terus menyambung bicara
dengan orang yang degil seperti Abang Kamal.
“Helo! Assalamualaikum…”
Aku senyum. Pasti gagang sudah bertukar tangan.
“Walaikumussalam, mak. Mak sihat?”
“Sihat. Kamu dah sampai ke?”
“Haah. Tiya baru sampai ni mak. Sampai aja terus
telefon mak ni. Baik tak anak mak ni?” soalku sambil tersengih
di beranda.
“Hmmm… baik apa? Takut nak dengar mak
berleter, kan? Tu yang cepat-cepat telefon tukan?”
Aku sengih lagi. Mak ni, macam tahu-tahu aja. Tak
boleh nak berlakon. Semua yang ada kat dalam hati aku,
semuanya dia tahu.
“Abang Kamal buat apa kat rumah tu?”

“Dia datang cari kamulah. Mana tahu kamu tak
balik.”
“Buat apa nak cari Tiya?”
“Manalah mak tahu. Kalau ada yang tahu pun,
kamu berdua ajalah. Betul tak?”
Hai… dalam maknanya kata-kata ibuku ini. Pasti
dia sudah mengesyaki sesuatu. Kenapalah Abang Kamal
tunjuk sangat pada ibuku, ada sesuatu yang berlaku di antara
kami? Aku bocorkan rahsia dia, baru tahu. Mahu ibuku halau
dia dengan parang. Tak ada nak hidang-hidang kopi lagi.
Baru padan muka!
“Mak. Tak boleh lama ni. Lagipun, mak ada tetamu,
kan? Nanti apa kata Abang Kamal, kalau tak ada orang yang
layan dia.”
“Mengelak. Mengelaklah selagi kamu boleh
mengelak!”
Aku tersenyum. Tapi, sudah tidak semanis tadi.
Kata-kata ibuku membuat aku sedikit gelisah.
“Mana ada Tiya mengelak? Mak ni, pandai-pandai
aja serkap jarang.”
“Serkap jarang mak selalu mengena.”
“Okeylah mak. Sherry panggillah. Malam nanti Tiya
telefon mak balik. Okey?”
“Yalah….”
“Okey... bye…”
“Amboiii, sejak bila jadi orang putih ni?
Assalamualaikum….”
Aku tersenyum. Terbayang wajah ibuku dengan
perkataan itu. Mesti siap dengan gaya tu.

“Waalaikumussalam.”
Talian terputus. Dan aku termangu di situ sambil
menongkat dagu. Terasa diri dihimpit rasa serba salah
dengan sikap degil Abang Kamal. Serba salah kerana dia
adalah sepupuku. Bimbang kalau berterusan kedinginan ini,
nanti hubungan keluarga pula yang menjadi taruhan. Risau
ada cerita yang tidak enak didengar akan muncul.
“Hai… jauh termenung?”
Sapaan itu mengganggu lamunanku.
Johan tersenyum memandangku.
Aku turut tersenyum kecil.
“Teringatkan siapa?” soalnya lagi.
“Tak ada teringatkan sesiapa pun. Saja ambil angin
pantai ni. Best pula. Awak dari mana ni?” soalku sedikit
kekok. Sejak Sharifah beritahu Johan bertunang sebab
kecewa denganku, aku belum lagi bercakap dengannya. Dia
pun seperti mengelak daripada bertembung denganku. Lebihlebih
lagi apabila aku bertukar kerja, peluang untuk
bertembung menjadi semakin kurang.
“Jalan-jalan. Ambil angin petang. Awak tak nak
jalan-jalan ke?”
Aku tersenyum sambil menggeleng perlahan.
“Yalah... saya ni siapa ya? Mana layak nak jalan-jalan
dengan awak.”
Senyumku mati tiba-tiba. Tidak suka dengan bicara
Johan.
“Kalau awak cakap macam nak sindir saya, baik
saya masuk. Saya tak suka!” Aku berterus terang. Memang
aku geram bila ada orang yang bercakap begitu. Macamlah
aku ni, sombong sangat. Nak kata aku sombong, kan? Baik

aku buat sombong betul-betul. Perlahan-lahan aku
mengangkat punggung.
“Tunggu! Saya minta maaf. Saya tak berniat nak
sindir awak pun. Duduklah dulu.”
Mendengar kata-kata Johan, aku kembali duduk.
Johan tersenyum sedikit.
“Thanks,” ujarnya sepatah.
Aku cuma tersenyum kecil. Johan ni, buat aku rasa
segan pula. Siap nak berterima kasih pula.
“Boleh saya duduk?”
Aku beralih sedikit. Memberi ruang untuk Johan
melabuhkan punggung di sebelahku.
Johan senyum sambil mengambil tempat di
sebelahku.
“Awak apa khabar? Lama kita tak bersembang ya?”
Johan memulakan bicara.
Ternyata lelaki itu sedikit kekok untuk
berkomunikasi denganku. Tiba-tiba aku terasa aku pula lebih
yakin untuk berhadapan dengannya. Tidak seperti selalu,
apabila dia yang mendominasi perbualan.
Aku pandang wajahnya.
Dia diam. Cuma mengira-ngira jarinya yang
memang hanya sepuluh itu.
Aku tersenyum kecil. Lucu apabila Johan tiba-tiba
menjadi pendiam.
“Kenapa senyum?” soalnya tiba-tiba.
Aku mengulum senyum. Supaya tidak terlalu ketara
aku sedang mentertawakannya.
“Awak gelak kat saya, ya? Kenapa?”

“Rasa macam lain bila awak diam macam ni.
Selalunya saya yang diam. Sekarang ni, terbalik pula. Dan,
jari awak tu memang sepuluh. Awak kira sampai seratus kali
pun, jawapannya tetap sepuluh!” Aku berterus terang. Tidak
mahu dia salah faham.
Johan tergelak kecil. Cepat-cepat jemarinya terlerai.
Tangannya kini memeluk lutut. “Saya pun tak tahu. Tak tahu
kenapa tiba-tiba saya rasa segan nak berdepan dengan awak.”
“Tapi, awak masih nak berdepan dengan saya juga?”
balasku pendek. Senyum kuukir sambil menatap wajahnya
yang cuma memandang jauh ke hadapan.
“Hati saya… hati saya yang nak berdepan dengan
awak.”
Aku pandang wajahnya dengan riak wajah yang
sedikit terkejut. Dah bertunang pun masih nak bercakap
pasal perasaan ke dengan aku?
“Jangan salah faham. Saya tahu status saya,” Johan
bersuara seakan-akan dapat membaca apa yang sedang
bermain di fikiranku.
Aku tersenyum. Lega.
“Tahniah. Maaf, sebab lambat ucap tahniah. Tak ada
peluang nak jumpa dengan awak.”
Johan tersenyum. Senyuman yang sukar untuk aku
tafsirkan akan maknanya. Bukan senyuman gembira. Bukan
juga senyuman sedih. Terlalu sukar untuk menebak perasaan
sebenar lelaki itu.
“Tahniah!” Sekali lagi aku bersuara.
“Terima kasih,” jawabnya ringkas.
Situasi yang tiba-tiba menjadi serba canggung
membuat aku berasa serba tidak kena.

“Saya doakan awak bahagia.”
“Saya pun harap begitu,” Johan bersuara dengan
nada yang tidak pasti.
Aku pandang wajahnya tanpa berkelip.
Johan tergelak kecil.
“Jangan pandang saya macam tu. Walaupun saya
dah bertunang, hati saya masih ada pada awak. Renungan
awak boleh buat saya lupa pada status saya sekarang.”
Cepat-cepat aku alihkan pandangan.
“Maaf,” ujarku sepatah.
“Untuk apa?” soal Johan perlahan.
“Untuk segala-galanya. Saya tak bermaksud nak
kecewakan awak. Saya… saya…”
“Saya faham. Cinta tak boleh dipaksa. Saya hormat
pendirian awak.”
“Sherry cakap, awak bertunang sebab... sebab…
saya. Saya harap Sherry salah.”
“Saya tak boleh ubah kenyataan tu. Memang itu
hakikatnya. Saya tahu saya tak berhak paksa awak. Tapi, saya
tak boleh tipu diri saya sendiri. Memang saya betul-betul
cintakan awak.”
Aku mula tidak senang duduk. Betul-betul tidak
senang duduk. “Janganlah cakap macam tu…”
“Don’t worry. Saya tak akan paksa awak. Saya pun
sudah nekad dengan keputusan saya. Saya tak akan ubah
fikiran.”
“Awak jangan buat keputusan semata-mata sebab
awak kecewa dengan saya.”
“Hidup mesti diteruskan.”

“Ya. Tapi, jangan sampai awak kecewakan tunang
awak nanti. Kalau awak bertunang dengan dia tanpa apa-apa
perasaan, nanti apa akan jadi padanya?”
Johan tunduk. Cuma untuk seketika, sebelum dia
mengangkat muka memandang wajahku. Agak lama,
membuat aku pula yang tertunduk.
“Sejujurnya, saya ingin awak yang bertunang
dengan saya.”
Ah, sudah! Johan ni, biar betul! Jangan buat kalut
Johan oiii. Awak tu dah jadi tunang orang.
“Tapi, saya tahu, mustahil. Bukan senang nak pikat
hati Adiya Fatiha ni. Tak tahulah lelaki macam mana yang dia
tunggu. Agaknya tunggu putera kayangan kut,” Johan cuba
berlawak. Mungkin dia menyedari perubahan riak wajahku.
Namun, aku rasa dia pun tidak berasa lucu dengan
lawaknya itu. Sebab, tiada segarit senyum pun di bibirnya.
Kalau dia tidak berasa lucu, aku, apatah lagi.
“Bukan masalah senang atau susah. Benda ni,
bukan boleh dipaksa. Macam awak cakap tadi, kan?” Aku
bersuara perlahan.
“Itu lainnya awak daripada gadis-gadis lain. Itu
jugalah yang menjadi tarikan kuat untuk lelaki mendekati
awak. Susah nak pikat. Dua tahun saya cuba, tapi failed. Saya
nak tengok nasib Encik Firdaus pula. Sama macam saya atau
tak.”
Aku pandang wajahnya sekali lagi.
“Apa pula Encik Firdaus perginya? Tak ada kenamengena
langsung!” Aku menjawab dengan wajah yang
sedikit masam.
Johan tergelak.

“Semua tahu Diya. Cuma, awak saja yang buat-buat
tak tahu. Macam mana awak buat kat saya dulu. Betul tak?”
Aku mengangkat punggung. Topik perbualan kami
sudah tidak menarik lagi.
“Nak ke mana?” soal Johan sambil mendongak
menatap wajahku.
“Tak nak cakap pasal nilah!”
“Harap Encik Firdaus tak kecewa macam saya.
Merpati Mara Jaya Industries.”
Aku mengerutkan kening. Dia pula tersenyum
panjang. Walaupun jelas senyumnya itu tiada keceriaan
langsung. Tidak faham dengan kata-katanya membuat aku
kembali duduk.
“Apa yang merpatinya ni?”
Tiba-tiba soalan yang datang dari belakang itu
membuat aku tersentak. Bukan aku sahaja, Johan pun turut
tersentak. Soalan yang ingin aku tanya sudah pun ditanya
oleh Sharifah.
“Kau ni… terkejut aku!”
Sharifah tersengih. Menolak bahu aku dan Johan.
Nak menyelit kat tengah-tengah. Tanpa disuruh, dia
melabuhkan punggung di antara aku dengan Johan.
“Ni... buat apa ni? Berdating ya? Jangan nak date
dengan tunang orang ya, Diya. Dan, kau pulak, jangan nak
curang dengan tunang kau.”
“Mana ada. Ambil angin ajalah,” sangkalku dengan
muka yang sedikit kelat.
“Apa kau cakap tadi? Merpati? Mana merpatinya?
Ada merpati ke kat sini?”

“Ada.”
“Kat mana?”
“Tu… kat sebelah kau tu,” Johan menjawab
selamba.
Sharifah menoleh. Memandang wajahku.
Aku pula, memandang wajah Johan dengan
pandangan hairan. Aku ke yang dia panggil merpati?
Hmmm… kalau panggil Angelina Jolie ke… Jennifer Aniston
ke… baguslah juga. Ini, merpati?
Sharifah tergelak.
“Diya ni, merpati?” soalnya sebelum menyambung
gelak.
Aku menjeling sambil menampar bahunya.
“Yalah. Tak betul aku cakap? Nampak jinak, bila nak
dekat, bukan main tinggi terbangnya. Langsung tak ada
peluang nak tangkap.”
“Oh... kalau itu, aku setuju. Dia ni, memang susah
nak dapat. Aku teringin sangat nak tengok dengan siapalah
nanti dia bersanding. Susah sangat nak jumpa Mr. Right
budak sorang ni. Jangan duk asyik mencari, tiba-tiba dapat
yang hampeh, sudahlah!” Sharifah membalas kata-kata Johan
dengan nada ala-ala mak orang.
“Kut ya pun nak mengata aku, mengatalah kat
belakang. Janganlah mengata aku kat depan-depan macam
ni. Terasa hati aku tau. Dahlah! Malas aku nak layan kau.”
Aku bersuara sambil mengangkat punggung.
Sedikit terasa dengan kritikan Sharifah. Aku melangkah
meninggalkan Johan dan Sharifah.
“Alaaa.. merajuk la pulak. Aku gurau ajalah!”

Terdengar suara Sharifah separuh menjerit. Suara
itu tidak aku endahkan. Terus berjalan tanpa tujuan yang
nyata.
“Hey… tunggulah!”
Tepukan di bahu membuat langkahku sedikit
terganggu.
Sharifah tersengih.
“Sorrylah. Aku tak sengaja nak sakitkan hati kau.
Aku gurau ajalah.”
Aku diam.
“Alaaa cayang. Janganlah majuk. Cenyum cikit.
Cikit lagi. Cenyum. Cenyum…”
Aku tergelak.
Sharifah turut tergelak.
“Kau ni, aku nak merajuk pun tak boleh.” Aku
bersuara sambil menampar belakang Sharifah perlahan.
“Kau? Nak merajuk dengan aku? Malam sikitlah!”
ujar Sharifah masih bersama gelaknya.
Aku tersenyum sambil memeluk bahu Sharifah.
Melangkah beriringan di sekitar calet yang nyaman dan
redup. Bukannya boleh lama aku merajuk dengan
perempuan ni.
“Joe masih pandang kau kat belakang tu,” Sharifah
bersuara.
Spontan aku menoleh. Berlaga pandang dengan
renungan Johan yang tercegat memandangku dari jarak
yang agak jauh. Aku ukirkan sekuntum senyuman.
Dia turut tersenyum sebelum mengangkat tangan
dan berlalu dari situ.

“Nampaknya dia masih tak boleh lupakan kau.”
“Minta-minta kata-kata kau tu, tak benar. Mana
boleh dia suka kat orang lain, padahal dia dah bertunang
dengan orang lain.” Aku bersuara dengan rasa yang sedikit
bersalah.
Kasihan tunang Johan, kalau dia tidak berusaha
bersungguh-sungguh untuk lupakan aku. Aku benar-benar
berharap agar satu hari, pintu hati Johan tertutup buatku.

No comments:

Post a Comment