Thursday, February 3, 2011

biarlah ym berbicara 26

Chapter 20
"Atok.. Atok..,"
Aku meninjau sekeliling dapur sambil membawa pinggan berisi ikan. Tidak ada.
"Mak, ada nampak Atok tak?,"
"Manalah mak tahu. Kejap lagi , kalau lapar, baliklah dia tu," ibuku menjawab dari dalam. Aku terus meninjau-ninjau sekeliling. Membawa pinggan sampai ke ruang tamu.
"Mak Long datang semalam," ibuku bersuara sambil menyusun gubahan bunga di atas meja.
"Dengan Pak Long sekali,"
Aku pandang wajah ibuku yang agak serius. Apa yang ibuku cuba sampaikan ni? Bukannya Mak Long dan Pak Long tidak pernah ke sini. Malah selalu datang ke sini, sebab rumah kami bukannya jauh sangat.
"Dah tu?,"soalku lambat-lambat.
"Kamu dengan Kamal tu, macam mana sebenarnya?,"
Alamak! Apa maksud bicara ibuku ini? Tiba-tiba jantungku berdegup kencang. Cukup kencang. Janganlah apa yang ada di kepalaku ini sama dengan apa yang cuba ibuku sampaikan.
"Macam mana apa? Mana ada apa-apa. Kenapa mak tanya macam tu?,"
"Betul tak ada apa-apa?,"
"Betullah. Kenapa mak?,"soalku sambil menatap wajah ibuku. Ibuku cuma diam sambil meneruskan gubahan bunganya. Aku mengerutkan kening. Pelik. Melihat ibuku terus membisu, aku kembali mencari Atok.
"Pak Long kamu datang merisik,"
"Hah?!,"
Pinggan terlepas dari tanganku. Terkejut yang bukan sedikit. Hampir pitam aku mendengar kata-kata yang baru keluar dari bibir ibuku. Pak Long datang merisik?
"Tengok! Pecah lagi. Kamu ni, Tiya, asal terkejut lepas benda kat tangan. Asal terkejut, lepas benda kat tangan,"
Mak ni, sempat membebel pula dia. Aku terduduk di lantai. Pinggan yang sudah berkecai aku kutip satu persatu. Fikiran pula sibuk memproses kata-kata ibuku sebentar tadi. Aku pandang wajah ibuku sekali lagi. Mana tahu ibuku buat lawak seperti hari tu. Wajah ibuku serius. Memang sah bukan lawak.
"Eh, Atok. Ada pun. Akak panggil tak dengar ya?," aku bersuara sebaik sahaja melihat Atok berlari ke arah ikan yang jatuh ke lantai.
"Dia dengar je pinggan pecah, dia dah tahu dah, mesti tuan aku dah balik ni. Siapa lagi kat dalam rumah ni yang suka pecahkan pinggan? ," ibuku menyampuk sambil membawa penyapu. Dalam risau, aku tersengih.
"Eh, jangan makan yang ni, Atok. Nanti Akak ambil yang lain. Yang ni bercampur dengan kaca," pantas aku mendukung Atok sambil berlalu ke dapur.
"Ni, kaca ni, siapa nak kemas ni?,"
"Alaa.. kejaplah mak. Nak bagi ikan kat Atok kejap,"aku menjawab sambil mengambil seekor ikan. Atok pula, mengingau sambil menjilat lenganku. Aku tergelak geli. Bodeklah tu. Saja buat baik sebab nak ikan. Aku letak ikan di dalam piring kemudian aku letakkan Atok ke lantai. Suakan piring berisi ikan padanya. Dan, seperti biasa Atok lupakan aku setelah mendapat ikan. Aku tersenyum. Perlahan berlalu ke ruang tamu. Ingin membersihkan kaca yang berterabur di lantai.
"Aik. Mak dah kemas semuanya?,"
"Hmm..,"
Aku senyum. Bergerak mendekati ibuku yang bersedia menyambung kerjanya yang terhenti.
"Mak tanya, cakap tak ada apa-apa,"
Aku pandang wajah ibuku.
"Betullah mak. Mana Tiya ada apa-apa dengan Abang Kamal tu. Apa Abang Kamal cakap kat Mak Long, sampai Mak Long datang jumpa mak?,"
"Mana mak tahu. Yang mak tahu, anak dara mak ada sorok sesuatu dari mak, kot,"
Aku melabuhkan punggung di sebelah ibuku. Terlentok manja di bahunya. Aku pulang untuk lepaskan rindu pada ibu, tetapi, berita ngeri ini yang aku terima. Abang Kamal memang kejam. Nepotisme! Ada ke guna pengaruh Mak Long untuk mendapatkan aku. Ini yang aku benci sangat ni.
"Betul kan?,"sekali lagi suara ibuku menyentuh gegendang telinga.
"Tak adalah mak. Abang Kamal tu. Dia yang suka Tiya. Tiya tak suka dia,"
"Sekarang macam mana? Semalam kali ketiga Pak Long datang tanyakan kamu. Semalam juga dia cakap dia nak merisik kamu. Untuk Kamal,"
Kali ketiga? Tak nak! Aku tak nak dengar semua ni.
"Mak.. Mana boleh macam tu. Tiya tak nak kahwin dengan Abang Kamal. Apa mak cakap dekat Pak Long?,"
"Mak kenalah tanya kamu,"
"Mak cakap je, Tiya tak nak. Tolong Tiya ya mak. Tiya tak nak kahwin dengan Abang Kamal,"
"Kenapa? Kan Kamal tu, budak baik,"
Budak baik? Mak tak tahu budak baik tu, hampir-hampir gelapkan masa depan anak mak ni. Hatiku menjerit geram.
"Tak naklah,"
"Mak serba salah sebenarnya. Malu nak menolak. Pak Long dengan Mak Long kamu berharap sangat,"
Aku tersandar di sofa. Kepala terasa berat.
"Takkan mak nak terima? Tiya tak cintakan Abang Kamal tu. Tiya tak suka Abang Kamal tu,"
"Itu yang mak pelik tu. Kenapa kamu tak suka sangat kat Kamal tu? Padahal dulu, masa kamu kecil bukan main rapat lagi kamu berdua,"
"Alaa.. Tu dulu. Masa kecik-kecik. Sekarang masing-masing dah dewasa, Tiya rasa macam tak sukalah kat Abang Kamal tu,"
"Amboi. Sedapnya mulut bercakap. Boleh main rasa-rasa pulak. Nak benci orang tu, nak benci orang ni,"
"Tak adalah. Tiya kurang selesa bila Abang Kamal asyik desak Tiya. Tak faham bahasa. Tiya dah cakap Tiya tak sukakan dia. Kenapa dia sibuk juga suruh Pak Long datang merisik? Benci betul!,"
Aku dengar ibuku mengeluh panjang. Pasti ibuku serba salah dengan situasi sekarang.
"Mak.. Jangan terima ya?,"pintaku sebak. Aku betul-betul tidak mahu berkahwin dengan Abang Kamal. Bibir mata sudah terasa berat.
"Entahlah Tiya. Mak pun tak tahu nak cakap apa,"
Ala.. Janganlah macam tu mak.
"Mak. Tiya tak nak kahwin dengan Abang Kamal. Tak nak. Tak nak,"aku bersuara dengan dengan nada separuh menjerit. Air mata sudah merembes di pipi.
"Laa.. Takkan sampai menagis kot. Kamu ni, manja sangatlah, Tiya,"
"Tiya tak nak kahwin dengan Abang Kamal..,"aku sudah mula merengek di bahu ibuku.
Ibuku mengeluh sambil mengusap lembut rambutku.
"Tengoklah nanti macam mana,"
Aku mengangkat kepala. Tengoklah nanti? Maknanya ada kemungkinan ibuku akan menerima risikan Abang Kamal.
"Tiya tak nak. Tiya benci Abang Kamal,"aku melepaskan rasa marah pada Abang Kamal sambil terus berlalu ke bilik. Membawa air mata yang membasahi pipi. Lagi-lagi Abang Kamal yang membuat air mata aku mengalir. Dia ingat dengan set barang kemas mahal yang dia hadiahkan tempoh hari, dia boleh beli aku? Jangan harap! Rasa geram yang membuak-buak membuat aku nekad mahu menelefon Abang Kamal. Lepaskan segala kemarahan ini. Dia ingat dia siapa hendak mengatur semua perkara untuk aku? Telefon bimbit aku capai. Mencari nombor telefon Abang Kamal sambil menyapu air mata yang laju membasahi pipi.
"Hello!,"
"Hello..,"
"Saya benci abang! Abang ingat abang siapa? Pandai nak mengatur hidup saya. Saya tak suka! Kenapa suruh Pak Long datang merisik? Saya tak nak kahwin dengan abang! Tak nak!,"jeritku geram.
"Amboi… marahnya..,"
Gulp! Macam kenal suara ni. Tapi, ini bukan suara Abang Kamal.
"Sayang.. kenapa ni?,"
Charming? Ya Allah. Macam mana aku boleh terdail nombor Charming pula ni? Siap menengking pula tu. Alamak. Kantoi.
"Kenapa marah-marah ni? Ada orang merisik awak ke?,"
Aku terdiam. Malunya. Silap marah orang. Sudahnya wajah aku benamkan pada bantal. Benci pada diri sendiri. Cuainya aku. Kenapa mesti tersilap dail?
"Awak?,"
"Sorry. Saya tak berniat nak tengking awak. Tersilap buat call. Sorry sangat-sangat,"akhirnya aku bersuara bersama mukaku yang terasa kebas semacam. Malu sendiri.
"Somebody merisik awak?."Charming mengulang soalan yang sama. Aku membisu lagi. Perlukah aku menceritakan segalanya pada Charming?
"You are hiding something from me. Betul kan?,"
"My cousin..,"akhirnya aku bersuara lemah.
"Yes. Your cousin what? Don’t tell me, your cousin nak meminang awak,"
"Ha ah,"
"No,"
"Betul. Saya tengah marah ni,"
"Marah? Kenapa?,"
"Saya tak suka dia. Tiba-tiba suruh mak and ayah dia datang merisik. Benci,"
"Oh.. Nak call dialah tadi tu ya?,"
"Yalah. Tapi, salah tekan pula. Sorry ya," suaraku sudah sedikit kendur.
"Awak kat mana sekarang?,"
"Kampung. Balik tengok mak,"
"Oh.. Mak apa khabar?,"
Mak? Mesranya bila Charming bertanya soalan itu. Seolah-olah sudah bertahun dia kenal ibuku. Aku tersenyum kecil. Rasa gundah di hati sedikit berkurangan.
"Baik. Saja balik. Dah janji hari tu, nak balik.Lagipun, dah lama tak balik,"
"Baguslah tu. Tapi, kenapa tak ajak saya sekali? Tak boleh nak berkenalan dengan anak daranya ni, biarlah saya berkenalan dengan maknya terus. Kot-kot senang sikit nak jadi menantu nanti,"
"Awak ni,"aku tergelak kecil.
Aku bahagia mendengar Charming tergelak halus. Hati semakin meronta-ronta ingin bertemu dengannya. Tetapi, setiap kali aku ingin suarakan hasrat itu, lidah menjadi kelu. Sudahnya aku menunggu dia suarakan dulu niat untuk bersua muka denganku.
"Serius. Kenapa awak tak beritahu awak balik kampung?,"
"Tak penting pun,"
"Yelah. Kita ni, siapa kan? Bukan istimewa pun. Jadi, semua benda jadi tak pentinglah untuk kita,"
"Bukanlah macam tu,"
"So, saya ni, pentinglah kat awak?,"
"Memanglah penting,"jawabku laju.
"Penting macam mana tu? Macam kekasih?,"
Aku kelu. Terkena lagi. Rupa-rupanya dia cuba menebak perasaan padanya.
"Yup,"jawabku berani. Aku nekad, aku perlu berterus terang kali ini. Aku memang betul-betul mahu Charming menjadi kekasih aku.
"Wah! Pengakuan berani mati tu. Rasa macam tak percaya Betty saya yang bercakap ni,"
"Saya memang nak awak jadi kekasih saya,"ujarku nekad. Malu aku buang ke tepi. Aku perlu berani. Lebih-lebih lagi apabila Abang Kamal sudah mula mendesak dengan cara yang tidak profesional langsung.
Diam. Aku bungkam. Kenapa Charming membisu tiba-tiba?
"Awak..,"aku bersuara perlahan.
"Serius?,"Charming bertanya lembut. Namu, nada suaranya sudah bertukar serius.
"Ya,"
"Awak tak akan menyesal? Awak akan terima saya walau macam mana keadaan saya sekali pun?,"
"Ya,"
"Awak buat keputusan terburu-buru. Fikir dulu. Takes time. Jangan nanti awak menyesal dengan keputusan yang awak buat ni,"
"Kenapa ni? Atau awak yang tak serius dengan saya selama ni? Sebab tu awak takut bila saya cakap saya nak serius dengan awak? Bila saya berterus terang dengan awak? Awak cuma main-main dengan saya kan?,"soalku dengan perasaan sedikit geram. Charming sudah seperti berdolak dalih. Dulu dia yang serius sangat. Tapi, bila aku cuba untuk jadikan hubungan ini lebih serius, dia seperti serba salah pula.
"Bukan macam tu. Saya tak nak nanti, bila kita jumpa awak ubah fikiran,"
"Kalau awak tak nak kat saya tak apalah. Lupakanlah apa saya cakap tu. Lupakanlah semuanya,"
Talian aku matikan. Tiba-tiba terasa sedih mendengar kata-kata Charming. Seperti tidak serius saja. Entah-entah selama ini dia memang tidak serius. Air mata mengalir lagi. Sedihnya. Sedih dengan perbuatan Abang Kamal. Sedih dengan sikap Charming yang tiba-tiba berubah. Tiba-tiba telefon bimbitku bedering minta diangkat. Kupandang. Charming. Telefon aku ambil lalu kuletakkan di bawah bantal. Tidak mahu menjawab panggilan lelaki itu. Saat ini, aku hanya ingin melayan rasa sedihku ini. Sudahnya aku terbaring di katil sambil melayan esakanku.
"Tiya..,"suara ibuku lembut memanggil. Aku menoleh. Air mata ku seka perlahan. Ibu datang rapat padaku.
"Telefon," ujar ibuku sepatah.
"Siapa?,"
"Kamal,"
"Apa lagi yang dia nak?,"soalku sambil mencapai bantal kecilku. Menyapu air mata di pipi pada bantal busukku itu.
"Dia nak cakap dengan Tiya,"
"Tak nak. Tiya tak nak cakap dengan dia. Tiya tak nak cakap dengan sesiapa pun,"
"Ada hal penting katanya,"
"Tiya tak nak cakap dengan dia mak,"
"Hmm. Yelah. Jangan nangis-nangis macam ni,"
Aku mengangguk perlahan.
"Bantal busuk ni, janganlah guna lagi. Awak dah jadi anak dara. Simpan jelah," sempat ibuku bersuara sambil memegang bantal kecil di tanganku.
"Tak naklah. Tiya nak bantal ni,"ujarku sambil menarik bantal itu rapat ke dadaku. Sudahnya ibuku cuma menggeleng perlahan.
"Dah. Jangan menangis lagi. Mak pergi cakap dengan Kamal. Betul tak nak cakap dengan dia ni?,"
Aku mengangguk lemah. Memang aku tidak ingin bercakap dengan sesiapa pun saat ini. Aku cuma ingin memeluk bantal busuk aku. Dan melayan rasa sedihku. Cuma itu..

No comments:

Post a Comment