Friday, February 25, 2011

biarlah ym berbicara chapter 32....37

Chapter 32
Aku mematung di kerusi. Cuma memandang Tini, pembantu rumah Encik Firdaus yang sibuk menjaga api untuk memanggang ayam dan daging. Sedikit kekok aku berada di tengah-tengah keluarga ini. Terasa sedikit terasing. Dan, Encik Firdaus.. ke mana dia pergi? Sampai sahaja tadi, dia terus menghilang. Rasa menyesal pula aku datang ke sini. Puan Junaidah pula sibuk mengarah sesuatu pada pembantu rumahnya itu.
"Adiya!,"
Aku tersentak. Puan Junaidah melambai padaku. Aku tersenyum. Pantas aku bangun sambil melangkah ke arahnya.
"Kenapa duduk sorang-sorang kat situ? Datanglah sini,"
Aku tersengih. Seganlah Puan. Aku menjawab di dalam hati.
"Puan tak jemput ramai orang ke?,"soalku sedikit hairan. Hairan kerana aku tidak nampak sesiapa di sini.
"Nak jemput buat apa? Dan lagi satu. Stop calling me Puan. Aunty, ok? Tak pun, mummy,"
Aku tersenyum panjang. Aunty? Mummy? Rasanya aunty lebih baik kot.
"Tapi, Encik Firdaus cakap, Pu…eh aunty buat makan-makan,"
"Memanglah. Makan anak beranak. Tak payah nak jemput orang ramai-ramai. Aunty memang suka kalau hujung minggu ni, dapat berkumpul satu keluarga. Yalah. Kalau hari biasa, masing-masing sibuk dengan kerja kan? So, hari minggu macam nilah kita nak duduk bersama. Sembang-sembang. Tukar-tukar fikiran. Bergurau senda. Lebih-lebih lagi, sekarang ni, adik Fir ada kat sini. Bertambahlah ahli nak bergurau,"
"Encik Farid?,"
"Ha ah. Adiya kenal ya?,"
"Ada beberapa kali Encik Farid datang jumpa Encik Firdaus kat pejabat,"
"Hey! Sebut-sebut nama saya. Mengumpat ya?,"tiba-tiba satu suara datang dari belakangku, membuat aku terperanjat. Farid tersengih sebaik aku berpaling.
"Kamu ni. Tak baik betul. Ada ke sergah orang macam tu,"
"Mummy tak tak tahu. Adiya ni, lagi tak baik. Mummy tak tahu apa yang dia cakap pasal anak teruna hensem mummy ni,"
"Oh.. apa yang dia cakap?,"Puan Junaidah bertanya pada Farid sambil matanya terarah padaku. Aku tersengih. Mata, aku alihkan pada Farid. Takkan Farid hendak bercerita pada ibunya kot. Malulah aku.
"Mula-mula dia cakap saya ni, salesman. Jual minyak urut. Muka saya ni, ada rupa orang jual minyak urut ke?,"
Puan Junaidah tergelak. Dan aku, tertunduk.
"Lepas tu, lagi tak patut, dia cakap muka saya macam badut. Muka ala-ala Keanu Reeves ni, dia cakap macam badut? Tak ke kejam namanya tu?,"
Puan Junaidah menyambung gelak. Dan aku mengangkat muka. Memandang wajah Farid. Ala-ala Keanu Reeves? Perasannya! Mataku mengamati wajahnya. Adalah sikit kot. Tang senyumnya kot. Aku berkata-kata di dalam hati
"Betul kan?,"soal Farid sambil memandang wajahku. Aku tersengih.
"Perasan,"tiba-tiba terkeluar kata-kata itu. Betul-betul tidak disengajakan. Cepat-cepat aku menutup mulut.
"Tengok mummy,"
Puan Junaidah cuma ketawa.
"Memang Angah perasan pun," kemudian dia bersuara selamba. Aku sedikit tersenyum mendengar kata-kata Puan Junaidah itu. Farid cuma mencebik.
"Along mana?,"
"Dengan abah, kat dalam. Ada discussion kot,"
"Discussion? Discussion apa?,"
"Entah. Business kot,"
"Business? Ini yang mummy tak suka ni. Hari minggu macam ni pun, nak fikir pasal kerja ke? Kejap mummy pergi panggil,"Puan Junaidah bersuara geram. Farid tersengih.
Melihat sahaja ibunya melangkah menuju ke dalam rumah besar itu.
"Mummy memang pantang kalau hari minggu ada perbincangan business. Hari minggu cuma untuk dia saja,"Farid bersuara tanpa ditanya. Aku tersenyum. Bergerak menghampiri Tini. Ingin membantu dia memanggang ayam. Kononlah hendak membantu. Padahal aku memang langsung tidak tahu tentang masak memasak ni.
"Boleh saya tolong?,"
Tini berpaling. Senyum manis terukir di bibirnya.
"Tak apalah cik. Saya boleh buat. Nanti kotor baju cik nanti,"
"Saya Diya. Panggil Diya saja,"
Tini tersenyum sambil mengangguk. Aku memandang beberapa ketul ayam di atas tempat memanggang. Farid pula, bergerak menghampiriku.
"So, awak dengan abang saya tu, memang ada apa-apa ke?,"laju soalan Farid membuat aku terkejut besar. Aku menoleh. Farid santai bersilang kaki di kerusi menanti jawapanku.
"Tak ada apa-apalah,"
"Betul ke?,"
"Betullah,"
"Ok,"Farid bersuara sepatah. Aku tersenyum.
"Err… Betul Cik Diya nak tolong saya ni?,"tiba-tiba Tini bersuara.
"Kenapa?,"
"Saya nak masuk ke dalam sekejap. Nak siapkan minuman,"
"Boleh,"
"Terima kasih ya,"Tini bersuara sopan sambil berlalu. Aku pula tersengih sambil menghadap ayam di atas pemanggang. Apa aku nak buat ni? Sudahnya, aku cuma memandang sahaja.
"Api tu, besar sikit tu. Nanti hangus ayam tu,"Farid bersuara.
"Dah tu, nak buat macam mana ni?,"soalku sambil memandang wajah Farid. Farid tersengih.
"You tanya I? Manalah I tahu,"
"Saya pun tak tahu,"
Aku garu kepala. Sudahnya aku mencapai sebatang besi kecil lalu aku serakkan bara yang agak menyala.
"Ok macam ni?,"aku bertanya lagi sambil berpaling memandang Farid.
"Ok kot,"Farid menjawab sambil bangkit dari kerusi. Mendekatiku. Aku kibaskan tangan ke muka. Asap berkepul-kepul membuat aku jadi sesak nafas.
"Asaplah awak. Nak buat macam mana ni?."soalku sambil menahan batuk.
"Ambillah kipas tu. Kipaskan,"pandai sahaja Farid memberi arahan. Aku mengikut tanpa banyak soal. Kipas kecil yang di atas meja, aku capai. Kibaskan pada bara yang semakin lama semakin malap. Asap semakin banyak menyerbu ke muka. Kini Farid turut sama terbatuk-batuk terhidu asap.
"Tak bolehlah awak,"
Farid mencapai kipas di tanganku. Kuat dia kibaskan bara arang. Aku pula menolak semula bara yang telah aku serakkan tadi. Menjadi selonggok di bawah ketulan ayam yang disusun elok di atas pemanggang. Asap hilang. Dan api kembali menyala. Marak. Pedih mata aku dibuatnya.
"Haa. Tengok. Boleh pun,"Farid bersuara bangga. Aku tersengih sambil menyapu air mata yang jatuh ke pipi. Pedih terkena asap.
"Tapi…,"
"Ya ALLAH. Angah! Apa kamu buat ni? Nak makan ayam rentung ke?,"suara Puan Junaidah riuh di belakang kami. Ha.. aku baru nak cakap, tak ke api ni, terlalu besar? Aku dan Farid sama-sama berpaling sambil tersengih.
"Tini mana?,"
"Kat dalam. Buat minuman,"beritahuku laju. Encik Firdaus yang berdiri di sebelah ibunya, tersenyum panjang.
"Dah. Kecilkan api bara tu. Haguslah kalau macam ni,"
Aku kaku sambil memegang besi. Macam mana hendak kecilkan api ni? Aku pandang Farid.
Farid menjungkit bahu. Sekali kali lagi aku serakkan arang berbara itu. Lecehnya. Ingatkan senang hendak panggang ayam ni.
"Jangan serakkan semua sayang. Padam teruslah api tu nanti,"Puan Junaidah bersuara sambil mencapai besi di tanganku. Aku tercegat memandang Puan Junaidah kuis bara sambil kibaskan dengan kipas. Bara menyala semula. Kali ini tanpa api yang menyala dan tanpa asap yang banyak. Macam itu ke caranya?
"Tak pandai masak ke?,"pedihnya soalan Encik Firdaus menikam gegendang telingaku. Aku tersengih sambil memandang senyum nakalnya. Dan, selebihnya aku tergamam apabila jemarinya menyentuh pipiku. Malunya! Aku bergerak ke belakang.
"Ada arang kat pipi tu,"beritahu Encik Firdaus masih bersama senyum manisnya.
"Ha? Ya ke?,"
"Yup,"
"Saya pergi basuh muka,"tanpa menunggu jawapan daripada Encik Firdaus, aku bergegas ke ruang dapur. Malu dengan adegan yang berlaku di hadapan ibu dan adiknya itu.
"Kenapa Cik Diya?,"
Aku tersenyum pada Tini yang kelihatan sedikit terpinga-pinga dengan kehadiranku secara tiba-tiba itu.
"Sorry. Terkejut ke?,"
Tini tersenyum.
"Kenapa dengan muka Cik Diya ni?,"
Aku tersengih sambil bergerak ke sinki. Membasuh muka.
"Ada lagi ke Tini?,"soalku sambil berpaling menatap Tini.
"Tak ada dah,"
"Ada towel tak? Tisu ke?,"
"Tisu ada kat dalam kabinet tu,"
Aku buka kabinet sambil mengeluarkan sekotak tisu muka. Perlahan aku bergerak ke meja sambil menyapu wajahku dengan tisu. Saat itu juga, mataku terpaku pada Mia yang baru tiba. Cukup manis senyum gadis itu sambil memeluk Puan Junaidah. Membuat jantungku terhenti seketika. Terasa perit menusuk ke hati.
"Cik Diya? Tak apa-apa ke?,"
Aku tersentak.
"Tak ada apa-apa. Kenapa?,"
"Jauh menungnya,"
Aku tersenyum.
"Saya tengok Cik Mia tu. Rapat dia dengan keluarga ni ya?,"
"Oh… Dia memang rapat dengan keluarga ni. Parent dia berkawan dengan Tuan Rashid dan Puan,"
Aku mengangguk perlahan. Patutlah. Dan, betullah tekaan aku. Mia menantu pilihan. Mataku sekali lagi terarah pada Mia. Cukup sepadan dia dengan Encik Firdaus. Sama cantik sama padan. Mia kelihatan cukup anggun dengan skirt denim separas lutus bersama t- shirt ketat berwarna jingga, menyerlahkan kulitnya yang putih melepak itu. Seperti bintang filem pula rupanya. Siapa sangka gadis secantik itu rupa-rupanya seorang doktor? Kalau jadi pelakon, mesti boleh popular.
"Cik Diya?,"
Aku tersentak lagi. Tini tersengih sambil memegang dua jug berisi fresh orange.
"Nak saya tolong ke?."
"Boleh. Tolong bawa gelas tu,"
Aku senyum sambil mencapai dulang berisi gelas. Berjalan mengekori Tini ke arah kumpulan manusia yang sedang bergelak ketawa itu.

No comments:

Post a Comment