Thursday, February 10, 2011

biarlah ym berbicara 32

Chapter 26
Aku tersenyum sambil menghulurkan menu makanan pada pelayan restoran. Sekilas aku memandang wajah Abang Kamal yang dari tadi asyik tersenyum. Melihat senyuman itu, aku tiba-tiba menjadi serba salah. Aku tahu Abang Kamal cukup gembira apabila aku menelefonnya. Aku juga tahu Abang Kamal cukup suka apabila aku suarakan hasrat ingin berjumpa dengannya. Tetapi, aku tidak gembira melihat kegembiraan itu. Kegembiraan Abang Kamal membuat aku berasa bersalah. Aku tidak mahu Abang Kamal salah faham.
"Abang. Kenapa suka sangat ni?,"soalku sedikit tersenyum. Marahku pada Abang Kamal terasa sudah hilang.
"Tiha pun tahu kenapa abang suka kan? So, kenapa tiba-tiba ajak abang keluar ni? Macam mimpi je abang rasa ni,"
Aku tersenyum.
"Abang jangan salah sangka pula. Sebenarnya saya ada hal nak cakap dengan abang,"
"Hal apa? Kalau pasal merisik hari tu, rasanya dah selesai kan? Atau.. mak abang datang lagi sekali ke?,"soal Abang Kamal separuh bergurau. Aku tergelak kecil.
"Tak adalah. Bukan pasal tu,"
Abang Kamal diam. Cuma matanya tajam memandangku.
"Abang.. Kenapa?,"
Abang Kamal tersenyum nipis.
"Dah terlalu lama abang tak dengar gelak ni. Tak tengok Tiha gelak macam ni pada abang. Baru abang sedar, rupa-rupanya abang terlalu rindukan itu semua,"
"Abang janganlah cakap macam tu,"
Abang Kamal tergelak halus. Namun, aku dapat rasakan ada kesedihan di dalam gelaknya. Itu bukan tawa gembira. Tetapi, itu adalah tawa penutup duka. Kejam ke aku pada Abang Kamal?
"Tiha jangan bimbang. Abang tak akan desak Tiha,"
"Tapi, abang pun, tak nak mengalah kan?,"
Abang Kamal menjawab soalan aku dengan senyuman yang terlalu sukar untuk aku tafsirkan. Benarkah sedalam itu cinta Abang Kamal padaku? Tidak pernah berubah walau bertahun-tahun telah berlalu? Bagaimana kalau aku terus menolak cinta Abang Kamal? Apa yang akan terjadi pada lelaki ini? Tiba-tiba ada rasa simpati yang mengusik jiwaku. Simpati pada Abang Kamal. Aku berdehem perlahan. Rasa kekok dengan kebisuan yang tercipta antara kami.
"Abang kat sana, takkan tak ada girlfriend langsung?," aku cuba untuk memesrakan keadaan. Abang Kamal menggeleng.
"Abang tak nampak orang lain selain daripada Tiha. Tak kira di mana abang berada, di mata abang hanya ada Tiha. Di hati abang hanya ada Tiha. Abang tak mampu nak ubah perasaan ini,"
"Abang tak pernah cuba kot?,"aku bersuara lambat-lambat. Cuba menyelami perasaan Abang Kamal yang selama ini aku abaikan.
"Abang tak nak cuba pun. Abang bahagia hidup dengan bayang-bayang Tiha,"
"Tapi, kita kan sepupu,"
"Hubungan itu tidak pernah menjadi penghalang kalau memang ada cinta antara kita,"
"Tapi, kan tak berapa elok. Dah macam tak ada orang lain lagi kat dalam dunia,"
"Walau beratus orang asing yang berbaris depan kita, tapi, hati kita cuma terpaut pada yang paling hampir dengan kita.. apa lagi yang boleh kita buat? Hati dan perasaan. Dua benda yang kita tak boleh kawal dengan akal kita, Tiha,"
Aku diam. Sedikit kagum dengan kematangan bicara Abang Kamal. Bicara Abang Kamal lebih teratur dan lebih lembut di telinga. Tidak lagi seperti dulu. Suka merungut dan marah-marah. Barangkali kedewasaan telah mematangkan Abang Kamal. Dalam usia awal tiga puluhan, rasanya bicara itu memang sepadan dengan Abang Kamal.
"Tapi, kalau.. kalau..,"kata-kataku putus di situ. Tidak sanggup untuk meneruskan bicara.
"Kalau abang bertepuk sebelah tangan?,"teka Abang Kamal bersama senyuman yang cukup hambar. Aku diam. Tidak menjawab. Memang itulah yang aku cuba suarakan pun.
"Abang tahu Tiha serba salah. Mungkin itu baik untuk abang,"

"Maksud abang?,"
"Barangkali rasa serba salah itu akan mendekatkan kita nanti? Barangkali juga rasa serba salah itu akan membuat perasaan Tiha pada abang berubah? Jadi sayang? Jadi cinta?,"
Kini giliran aku pula yang mengukir senyuman hambar.
"Jadi, abang memang sengaja buat saya rasa serba salah? Kan ke itu kejam namanya?,"soalku menduga.
Abang Kamal ingin menjawab, tetapi terbantut apabila pelayan restoran menghantar pesanan. Kami sama-sama diam, membiarkan pelayan itu meletakkan hidangan di atas meja.
"Hmm.. so, enjoy our dinner,"Abang Kamal bersuara setelah pelayan itu berlalu. Aku tersenyum. Mencapai sudu dan garfu, mengacau nasi goreng kampung yang aku minta. Segala sayur aku kuis ke tepi pinggan.
"Masih juga tak makan sayur?,"
Aku tersengih. Masih ingat rupanya Abang Kamal yang aku memang tidak suka makan sayur.
"Sayur tu penting. Belajarlah makan,"
"Baik doktor. Nanti saya belajar,"
"Belajar apa? Belajar kuis ke tepi pinggan? Itu tak payah belajar lagi. Memang expert. Kalau nak belajar, belajar makan sayur,"
Aku tergelak. Abang Kamal tersenyum sambil menyuap mee sizzlingnya. Makanan kegemarannya. Terasa kemesraan yang aku tinggalkan bertahun dulu, kembali semula. Dalam diam, aku akui, sebenarnya jauh di sudut hati, aku rindukan Abang Kamal. Aku rindukan kemesraan Abang Kamal. Memang satu ketika aku terlalu akrab dengan Abang Kamal.
"Tiha.. err.. saya,"kata-kataku terhenti.
"Tiha.. Macam dulu-dulu. Bahasakan diri Tiha. Abang suka dengar,"pinta Abang Kamal lembut. Aku tersenyum. Tersasul dengan kemesraan dulu.
"Tiha harap sangat satu hari nanti, hati Abang tak akan terluka,"aku bersuara. Abang Kamal tersenyum senang.
"Maksud Tiha?,"
"Tiha takut Tiha akan lukakan perasaan abang,"
"Tak payah takut. Tiha bebas lakukan apa sahaja. Dan abang juga akan lakukan apa sahaja demi cinta abang. Yang lainnya? Kita serahkan pada takdir,"
Aku diam. Ada lagi yang terbuku di hati ini. Bagaimana caranya untuk aku suarakan hasrat utama aku ingin bertemu dengannya? Betul kata Sharifah. Bukan senang untuk meluahkan sesuatu yang mungkin akan melukakan perasaan orang lain.
"Kenapa ni? Ada masalah ke?,"
Lembut pula soalan itu menusuk ke gegendang telingaku. Aku menggeleng perlahan.
"Ada sesuatu yang Tiha nak cakap pada abang?,"
Aku menahan nafas. Perlukah aku berterus terang? Mungkin perlu. Terlanjur Abang Kamal sudah bertanya, ada baiknya aku terus ke pokok utama pertemuan kami malam ini. Tapi, pandangan mata Abang Kamal membuat aku jadi serba salah. Aku kasihan!
"Tiha. Tell me. What’s wrong?,"
"Nothing wrong actually. It just.. Tiha ada sesuatu nak cakap,"
"Yeah. Go on. Im listening,"
Aku mengeluh berat. Sudu dan garfu aku letak ke pinggan. Abang Kamal pula terus menungu sambil menyuap makanan ke mulut. Aku mengambil beg tanganku. Mengeluarkan sesuatu dari situ. Sesuatu yang membuat suapan Abang Kamal perlahan-lahan terhenti. Matanya menikam wajahku dengan pandangan tidak mengerti.
"Kenapa ni?,"soalnya sambil mengalihkan pandangan ke hadiah pemberiannya tempoh hari.
"Tiha tak layak untuk ini semua, bang,"
"Siapa kata Tiha tak layak? Abang hadiahkan untuk orang yang paling layak. Jangan lukakan perasaan abang dengan cara macam ni, Tiha,"
"Tapi, bang. Semua ni, terlalu mahal untuk Tiha terima. Sepatutnya hadiah ini untuk orang yang paling bermakna dalam hidup abang,\"
"Orangnya ialah Tiha,"
"Tapi, Tiha tak boleh. Tiha tak cintakan abang. It’s not fair kalau Tiha terima pemberian ni, tapi, Tiha lukakan hati abang,"
"Tiha terima pemberian abang, tapi Tiha tak terima abang, memang hati abang akan terluka. Sekali. Tapi, kalau Tiha tak terima pemberian abang ni, dan Tiha tak terima perasaan abang.. abang akan terluka dua kali. Sanggup Tiha lukakan hati abang sebanyak itu?,"
Aku termangu. Hilang kata-kata untuk menjawab. Cuma rasa serba salah yang memenuhi segenap fikiran ini. Sudahnya aku menggaru kepala yang tidak gatal. Melihat tindakanku itu, Abang Kamal tergelak kecil.
"Calm down, baby. Jangan emosi sangat,"
Aku tersenyum kelat. Senang saja Abang Kamal cakap macam tu. Mataku meliar memerhati sekeliling. Mencari kekuatan untuk berdepan dengan sikap tenang Abang Kamal.
"Tiha?,"
Aku pandang kembali wajah Abang Kamal.
"Tapi, bang..,"
"Sudahlah.. Janganlah buat abang macam ni. Tolong simpan pemberian abang ni. Abang tak akan ambil balik hadiah ni. Kalau Tiha tak nak juga, Tiha buang saja hadiah tu,"suara Abang Kamal kedengaran tegas di telingaku. Juga ada sedikit nada merajuk. Ala.. ini yang buat aku jadi lemah ni.
"Abang. Janganlah cakap macam tu,"
Abang Kamal mengeluh perlahan. Dia memandang wajahku. Mencapai jemariku. Saat itu juga, mataku terpaku memandang pasangan yang tidak jauh dari tempat aku makan. Encik Firdaus dan Mia. Mesranya mereka. Hatiku menjadi ralat. Aku jadi tidak mengerti dengan sikap Encik Firdaus. Kata-kata Encik Firdaus tempoh hari, seolah-olah dia ada menyimpan perasaan padaku. Tapi, sekarang, dia cukup mesra berjalan sambil bergurau senda dengan Mia. Saat itu juga, mata Encik Firdaus terpandang ke arahku. Langkah lelaki itu terhenti tiba-tiba. Kaku melihatku barangkali. Mia turut memandang ke arah yang sama. Senyum mekar di bibir Mia sambil melambai ke arahku. Aku mengukir senyum nipis.
"Senyum sorang-sorang? Kenapa ni?,"
Aku tersentak. Abang Kamal tersenyum sambil kedua tangannya menggenggam jemariku. Dan, baru aku sedar, aku biarkan jemariku berada di dalam genggaman Abang Kamal sejak dari tadi. Sebelah tangan Abang Kamal mengambil kotak hadiah yang aku letak di atas meja. Kotak itu diletakkan semula di atas telapak tanganku.
"Ambil balik,"ujarnya perlahan. Aku tersenyum sambil menarik perlahan tanganku dari pegangannya. Sekilas aku menjeling ke arah tempat Encik Firdaus dan Mia berdiri. Encik Firdaus masih merenung tajam ke arahku. Tiada senyuman di wajah itu. Aku senyum sambil mengaggukkan kepala sebagai isyarat menyapanya dari jauh. Kenapalah aku boleh terserempak dengannya di sini? Dan, Encik Firdaus tidak membalas senyumanku.
"Kenapa? Tiha tengok siapa?,"
"Hah? Oh.. bos Tiha. Dengan kekasih dia,"
"Ya ke? Mana?,"Abang Kamal bertanya sambil menoleh. Kebetulan Mia yang sekejap tadi hilang, muncul kembali di sisinya bersama dua bekas minuman dan sekotak pop corn. Hmm.. mereka nak tengok wayang rupanya.
Abang Kamal mengalihkan wajah secara tiba-tiba membuat aku sedikit kaget.
"Kenapa bang? Abang kenal bos Tiha ke?,"
Abang Kamal tidak menjawab. Cuma tunduk sedikit sambil meletakkan tangan ke kepala. Seolah-olah sedang bersembunyi dari seseorang.
"Abang kenal bos Tiha ke?,"soalku sekali lagi.
"Yang pakai T-shirt hitam tu ke bos Tiha?,"
Aku mengangguk.
"Tak,"jawab Abang Kamal sepatah.
"Dah tu, kenapa abang terkejut? Siap nyorok lagi?,"
"Mana ada abang menyorok?,"
Aku tersengih.
"Tu.. Bukan menyorok ke tu?,"
Abang Kamal pula yang tersengih. Tangan yang menutup dahi diturunkan perlahan-lahan.
"Cepatlah cakap. Abang nyorok dari siapa sebenarnya?,"
"Abang rasa abang kenal perempuan tu,"
"Cik Mia? Abang kenal Cik Mia?,"laju sahaja aku bertanya. Dan aku lihat wajah Abang Kamal sedikit berubah.
"Mia? Nama dia Mia?,"
"Ha ah. Abang kenal ke?,"
"Kalau nama dia Mia, memang abang kenallah,"
"Exgirlfriend ke? Kata tak ada kenal perempuan lain…,"aku bersuara separuh menyakat.
"Bukanlah. Kawan. Tapi, tak tahu pula dia dah ada kekasih. Betul ke kekasih dia tu?,"
"Laa.. Kalau dah mesra macam tu, kekasihlah tu. Hubungan dia dengan keluarga bos Tiha tu pun rapat. Menantu pilihanlah kot tu,"
"Ya ke?,"
Aku mengangkat bahu. Melihat sekali lagi ke arah Encik Firdaus tadi. Hilang. Mereka sudah tiada di situ. Dalam diam, hatiku menjadi sayu. Sudahnya aku cuma memandang Abang Kamal yang perlahan-lahan menyambung makannya. Aku? Seleraku hilang tiba-tiba.

No comments:

Post a Comment